Suami meninggal dunia sakit jantung, isteri mengandung hilang tempat bergantung

UJIAN Allah kepada isteri yang sedang mengandung ini bukan calang-calang insan boleh menghadapinya. Namun Allah tahu kemampuan hamba-Nya, kerana Dia memberi ujian mengikut kemampuan.

Hasanah dengan kandungan yang berusia tujuh bulan menerima berita duka kehilangan suaminya buat selama-lamanya pada pangkal September lalu akibat sakit jantung.

Menderita sakit jantung sekian lama, akhirnya suami tercinta menghembuskan nafas terakhirnya. Lebih memilukan tiada apa pun yang ditinggalkan suami untuk isteri dan dua orang anak yang masih bersekolah itu, lapor Baitulmal MAIWP dalam laman Facebooknya.

Hasanah yang dijangka bersalin pada penghujung November nanti memaklumkan kepada skuad Baitulmal, beliau dan arwah suami telah cuba memohon bantuan namun tidak sempat menghantar permohonan ekoran penyakit jantung dideritai oleh arwah suami.

Hasanah sewaktu menerima kunjungan Skuad Baitulmal di rumahnya selepas kematian suaminya akibat sakit jantung. (Gambar FB: Baitulmal MAIWP)

Hilang tempat bergantung dan menghadapi kesulitan bayaran sewa rumah, skuad yang turun menziarahi beliau mencadangkan agar beliau memohon bantuan kewangan bulanan, bantuan kecemasan dan bantuan sewa rumah dan hutang.

Kewujudan Baitulmal MAIWP sedikit sebanyak mampu meringankan beban insan senasib beliau, menjadi sinar dalam meniti kehidupan yang dirasakan gelap pada mulanya akibat sebuah kehilangan.

Suami meninggal dunia sakit jantung, isteri mengandung hilang tempat bergantung

| Semasa, Tumpang Bahu |