Suami meninggal ketika isteri sarat mengandung, anak-anak menangis kelaparan tiada makanan kerana ibu terpaksa dikuarantin

ANAK-ANAK yang masih belum mengerti pukulan ombak kehidupan ibu dan ayahnya ini hanya mampu menangis kelaparan. Mereka tidak tahu kenapa ibu masih belum memenuhi keperluan perut mereka, walhal ibu sendiri sedang hampir goyah diterkam badai ujian.

Kehilangan suami tercinta yang menjadi tunggak keluarga secara tiba-tiba dalam keadaan diri sendiri sedang sarat hamil bukanlah calang-calang ujian buat wanita ini. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Suaminya pergi menghadap Ilahi pukul sebelas pagi, Jumaat dua minggu lepas manakala beliau dan anak-anak diarahkan menjalani kuarantin setelah beliau disahkan positif Covid-19. Keterbatasan pergerakan itu mengakibatkan mereka tiada makanan, anak-anak kecil menangis kelaparan.

Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP mengunjungi rumah wanita sarat mengandung yang baru sahaja kematian suaminya sebaik sahaja dimaklumkan berita tersebut. (Gambar: FB Baitulmal MAIWP)

Ketika Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP sampai ke rumah mereka setelah menerima aduan pada malamnya, suasana pilu menyelubungi malam yang suram. Anak-anak kecil tidak faham apa sedang berlaku, dan apa nasib mereka pada hari mendatang.

Menurut sumber terdekat mengatakan almarhum bekerja sebagai penghantar barang dan pendapatan tersebutlah satu-satunya sumber rezeki mereka sekeluarga memandangkan isterinya adalah surirumah.

Walaupun keluarga ini mendapat bantuan daripada Baitulmal MAIWP dan bantuan tersebut akan diteruskan ke atas nama isteri, kehilangan sumber utama keluarga ini sedikit sebanyak memberi kesan kewangan untuk meneruskan kehidupan yang banyak terjejas oleh Covid-19.

Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka dan diberi ketabahan hati mendepani ujian besar kehidupan ini.

Gambar: Petikan perbualan pihak Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP dengan sumber terdekat keluarga tersebut (FB Baitulmal MAIWP)

Suami meninggal ketika isteri sarat mengandung, anak-anak menangis kelaparan tiada makanan kerana ibu terpaksa dikuarantin

| Semasa, Tumpang Bahu |