October 7, 2024 10:06 PM
LOGO-HBIT

Suami ‘unboxing’ isteri bercanggah prinsip suami sebagai pemelihara kehormatan isteri

TREND ‘unboxing’ barangan kini sudah menjadi kebiasaan dan tidak begitu mengujakan lagi berbanding sewaktu mula-mula ia hangat di media sosial, kecualilah barangan itu sesuatu yang terlalu istimewa dan menarik perhatian warga maya.

Mungkin kerana mahu mewujudkan kelainan itulah, wujudnya pasangan pengantin baru menjalankan upacara “unboxing isteri” tanpa segan silu dan berfikir panjang.

Video tersebut yang tular di media sosial beberapa hari lepas memaparkan pengantin lelaki membantu membuka hiasan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori yang terdapat pada bahagian kepala pengantin terlebih dahulu.

Upacara ini adalah bercanggah dengan prinsip Islam secara asasnya kerana Rasulullah SAW memerintahkan para suami agar memelihara kehormatan dan penampilan para isteri sekalipun di hadapan seorang lelaki yang buta, kata Dr Ahmad Sanusi Azmi, Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM dalam saluran Telegramnya.

“Rasulullah memerintahkan isteri Baginda agar memakai hijab sekalipun di hadapan seorang yang buta. Saranan ini diucapkan kepada Saidatina Ummu Salamah dan Saidatina Maimunah apabila datang seorang buta ke rumah Baginda.

Kata Rasulullah yang bermaksud; “Hendaklah kamu berdua memakai hijab.” Lalu isteri Baginda berkata: “Bukankah dia seorang yang buta wahai Rasulullah? Dan dia tidak boleh melihat kami.” Lalu Rasulullah menjelaskan: Bukankah kamu berdua boleh melihat dia? (HR al-Tirmizi),” jelas Dr. Ahmad Sanusi.

Apa yang lebih membimbangkan sekiranya video upacara sebegini menjadi perhatian anak-anak muda yang masih bersekolah atau pasangan suami isteri yang kurang pengetahuan agama sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan yang berpotensi menjadi budaya.

Apa yang lebih membimbangkan sekiranya video upacara sebegini menjadi perhatian anak-anak muda yang masih bersekolah atau pasangan suami isteri yang kurang pengetahuan agama sehingga mereka terkeliru dalam merasakan perbuatan tersebut boleh dipraktikkan yang berpotensi menjadi budaya.

Perbuatan tidak bermoral yang mencetuskan kemungkaran dan menjadi ikutan orang lain akan menjadi ‘saham’ kepada pencetusnya. Sabda Rasulullah yang bermaksud; “Dan barangsiapa yang melakukan perlakuan jahat di dalam Islam, sehingga diikuti oleh orang lain, maka dia beroleh dosa dan menanggung dosa mereka yang melakukan perbuatan tersebut.” (HR Muslim).

Janganlah pula pahala bernikah itu dicemari dengan perbuatan sia-sia malah memalukan itu dijadikan pembuka sebuah ikatan yang suci antara dua hati, apatah lagi istilah “unboxing” sangat tidak layak untuk digunakan pada isteri yang bukan material atau barangan semata-mata.

Biarlah permulaan kehidupan berdua itu dipenuhi kesyukuran dan pengabdian pada-Nya yang menganugerahkan jodoh yang tidak ternilai harganya.