Sucikan jiwa dan tenangkan hati dengan sajian rohani TV AlHijrah sepanjang Ramadan

OLEH ROKIAH ISMAIL (rokiah@tvalhijrah.com)

BULAN Ramadhan mulia yang penuh keistimewaan bakal disambut dengan suasana agak istimewa pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Kandungan (PKP) yang masih belum berakhir pada ambang bulan ini.

Bertemakan Ramadan Menyuci Jiwa, TV AlHijrah menyeru seluruh umat Islam terutamanya penonton setia stesen ini untuk menghayati dan menjalani ibadah puasa secara bijaksana dengan sudut pandangan berbeza namun penuh kebaikan mengikut acuan Islam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, tema yang dipilih membawa maksud mengajak penonton sama-sama mendidik nurani dengan melatih empati diri ini serta lebih peka kepada nasib golongan yang kurang berkemampuan; terutamanya mereka yang sangat terkesan dari sudut ekonomi dan psiko sosial oleh wabak Covid-19.

Tema ini mampu direalisasikan dengan membudayakan penghayatan ibadat berpuasa mengikut sunnah Baginda Rasulullah s.a.w seperti bersederhana dalam setiap perbuatan, mengelakkan pembaziran, melipatgandakan ibadah dan pelbagai amalan lagi.

“Kita mahu semua yang menonton TV AlHijrah pada Ramadan kali ini beroleh manfaat serta menanam semangat dan iltizam untuk mempertingkatkan amalan hingga ke hari terakhir Ramadan; seterusnya mengekalkannya sepanjang kehidupan,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, Ramadan kali ini peluang terbaik untuk mengenal dan mendidik diri dalam segala keterbatasan. Namun keterbatasan berpuasa semasa PKP tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk tidak mengejar fadilat bulan mulia ini.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris

“Kita diciptakan sebagai sebaik-baik kejadian. Kita adalah umat Nabi Muhammad s.a.w. Kita harus menjadi juara,” kata beliau.

Perencanaan kempen Ramadan Menyuci Jiwa ini dilaksanakan di dwi wadah iaitu di wadah televisyen dan juga digital.

Sebanyak 12 rancangan baharu disajikan dengan menyeimbangkan empat kompenen penting di dalam diri manusia iaitu qalb (hati), al-ruh (ruh), al-nafs (nafsu), al-aql (fikiran).

Namanzee juga yakin TV AlHijrah menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini kerana stesyen berkonsepkan Islam ini mampu memberikan makanan jiwa buat penonton.

Namanzee juga yakin TV AlHijrah menjadi stesen pilihan utama rakyat Malaysia sepanjang Ramadan ini kerana stesyen berkonsepkan Islam ini mampu memberikan makanan jiwa buat penonton.

“Lihat sahaja sepanjang PKP dilaksanakan, TV AlHijrah menjadi pilihan utama penonton untuk kandungan Islam dengan syer saluran dua kali ganda di hadapan saluran-saluran Islamik yang lain. Malahan laman Facebook TVAH pula dilayari oleh 10.6 juta pengguna pada bulan ini, iaitu tujuh kali ganda daripada jumlah pengikut sedia ada,” jelas beliau lagi.

Walaupun berdepan keterbatasan bekerja dalam suasana PKP, TV AlHijrah masih berjaya menyediakan sebanyak 92 jam program khusus untuk kandungan istimewa Ramadan yang meliputi program kerohanian, bual bicara, majalah dan travelog.

Rancangan-rancangan yang diatur ini tepat untuk membantu menenangkan, menghilangkan rasa gusar serta mendekatkan seluruh penonton stesen ini dengan Allah s.w.t, lebih-lebih lagi dalam situasi wabak yang masih lagi mendebarkan ini.

Antara program-program tersebut adalah seperti rancangan QuranTime, Ihya’ Ramadan, Tazkirah Jumaat, Tausiyah Ustazah Asma, Munajat, Kembara Sufi Jejak Anbiya, Assalamualaikum Istimewa Ramadan, Ngaji On The Go: Ustaz dan Artis Lelaki, Ngaji On The Go: Ustazah dan Qariah, Tadarus 30 Juzuk dan E-Kaunter Netizen Bersama Syamsul Debat.

Sucikan jiwa dan tenangkan hati dengan sajian rohani TV AlHijrah sepanjang Ramadan

| Semasa |