“Sudah jatuh ditimpa tangga,” wanita jual sos sengkuang calit dari rumah kerana PKP untuk tampung biaya kos rawatan jantung suami

KEHIDUPAN keluarga Nor Rashidah Mohamad Rosnan,38, sebelum ini cukup tenang tanpa menghadapi sebarang masalah kewangan dengan pendapatan suami, Mohd Azlee Ramli, 45, yang berniaga sengkuang calit dan jambu potong secara kecil-kecilan.

Walaupun tidak hidup mewah, namun ia sudah cukup untuk menampung kehidupan mereka empat beranak.  Namun, langit tidak selalu cerah, hidup keluarga ini mula diuji apabila negara dilanda pandemik Covid-19, tahun lalu.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi melandaikan penularan jangkitan menyebabkan pasangan ini hilang sumber pendapatan berikutan tidak dapat berniaga. Perniagaan yang sebelum ini dijalankan di Uptown Batang Kali dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) tidak dapat diteruskan kerana ditutup sepanjang pelaksanaan PKP.

Namun ujian buat mereka sekeluarga tidak berakhir setakat itu, lebih menyedihkan lagi, pada penghujung November tahun lalu, mereka sekali lagi diuji apabila suaminya disahkan menghidap masalah jantung.

Mohd Azlee membantu isterinya mengisi sos sengkuang calit ke dalam botol setiap kali mendapat tempahan pelanggan.

Dunia seakan gelap seketika apabila suaminya disahkan menghidap penyakit itu, memandangkan sebelum ini Mohd Azlee tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan apatah lagi hanya suaminya yang menjadi tulang belakang mencari rezeki untuk keluarga. Dia bingung memikirkan bagaimana kehidupan mereka sekeluarga selepas ini memandangkan Mohd Azlee sudah tidak boleh bekerja kuat.

Sejak tiada pendapatan tahun lalu kerana tidak dapat menjalankan perniagaan, mereka sekeluarga hidup dengan hanya mengharapkan wang simpanan dan i-Sinar. Dengan wang yang ada mereka berjimat cermat, namun apabila suaminya menghidap masalah jantung, Nor Rashidah yang mesra disapa Gee risau memikirkan kos rawatan memandangkan kemudahan i-Sinar sudah berakhir, dan kini hanya mengharapkan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) sebanyak RM500. 

Namun, kos rawatan jantung bukan murah, setiap kali ada temujanji mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya RM250 untuk melakukan ujian Echokardiogram (Echo) dan rawatan elektrokardiogram (ECG).

Mohd Azlee dijadualkan menjalani prosedur angiogram pada September depan dengan kos rawatan dianggarkan berjumlah lebih RM2,000. Jumlah itu besar untuk mereka yang kini tiada punca pendapatan. Tambah pula prosedur itu perlu dijalani dalam tempoh tidak sampai sebulan. 

Mohd Azlee menunjukkan laporan perubatan mengenai masalah jantung yang dideritainya kepada isteri dan anak-anak ketika kunjungan Suara Asnaf ke kediaman mereka di Bukit Sentosa, Hulu Selangor, baru-baru ini.

Tambah menyesakkan fikiran Gee apabila  apabila memikirkan sewa rumah rumah yang tertangguh dua bulan. Mereka sekeluarga amat berterima kasih dengan keprihatinan tuan rumah yang menurunkan kadar sewa kepada RM 200 daripada RM400 sebelum ini selepas mereka hilang punca pendapatan.  Tetapi apabila tiada punca pendapatan RM200 pun besar nilainya, itu yang menyebabkan mereka gagal menjelaskan sewa rumah.

Memandangkan suaminya sudah tidak mampu bekerja berat dan tidak boleh berpanas kerana akan sesak nafas, Gee kini menjalankan perniagaan sos sengkuang calit dari rumah yang kini menjadi mata pencarian mereka sekeluarga dan bagi memembolehkan suaminya menjalani prosedur angiogram.

Ketika ini hanya itu usaha yang mampu dilakukan dan dia sangat bersyukur mempunyai peluang mencari rezeki dengan kemahiran yang ada. Sos sengkuang calit yang dijual dengan harga RM10 sebotol itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan. Mereka bersyukur kerana mempunyai pelanggan setia yang sentiasa mencari sos sengkuang calit biarpun terpaksa menghentikan perniagaan sementara waktu.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 53 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Nor Rashidah dan Mohd Azlee kini menjalankan perniagaan sos sengkuang calit dari rumah sejak hilang sumber pendapatan berikutan tidak dapat berniaga kerana pelaksanaan PKP tahun lalu.

(20)

“Sudah jatuh ditimpa tangga,” wanita jual sos sengkuang calit dari rumah kerana PKP untuk tampung biaya kos rawatan jantung suami

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>