Tadabbur keindahan kurniaan Allah mekarkan rasa syukur sepanjang Ramadan, elak rasa sombong bongkak

Rancangan yang disusun sepanjang Ramadan ajak umat tadabbur keindahan Al-Quran

MERAIKAN Ramadan dengan mempersiapkan mental, jasmani dan terutamanya rohani menandakan seorang muslim itu sangat mendambakan kehadiran bulan mulia ini sebagai madrasah membentuk diri ke arah yang lebih baik. Memperbaiki diri dari tahun ke tahun adalah sifat mereka yang berjaya; di dunia dan Akhirat sebagaimana gesaan agama supaya umat Islam sentiasa maju dari semua aspek kehidupan.

TV AlHijrah sebagai pembekal ilmu kepada masyarakat, khususnya umat Islam juga sentiasa memperbaiki dan mengusahakan penyiaran bahan-bahan bermutu untuk santapan rohani para penonton sepanjang Ramadan; supaya setiap gerak laku dan panca indera umat Islam terisi dengan perkara berfaedah.

Melalui slogan “Mentadabbur Keindahan”, TV AlHijrah mengajak penonton memaknakan keindahan ayat-ayat Al-Quran yang mengandungi kisah-kisah, panduan-panduan dan teladan yang indah untuk diterjemahkan dalam kehidupan. Banyak keindahan ini terungkap dalam Surah Ar-Rahman yang sekiranya dihayati sepenuh jiwa akan melunakkan jiwa insan untuk berubah ke arah kebaikan lantaran nikmat Allah yang begitu besar.

Selain mengimarahkan bulan Ramadan dengan ibadat puasa, qiam, solat tarawih, doa, zikir, tadarus Al-Quran, sedekah dan infaq dalam memperkukuhkan iman dan takwa serta meraih keampunan Allah SWT, menonton rancangan yang padat ilmu juga seharusnya menjadi aktiviti utama sepanjang Ramadan.

Salah satu adegan dalam drama bersiri Risalah Imam Al-Syafie yang akan disiarkan sepanjang Ramadan bermula esok (1 Ramadan), 6:00 petang di TV AlHijrah dan aplikasi AlHijrah Plus.

Menyambut hari pertama Ramadan, pada pukul 6:00 petang sepanjang Ramadan akan disiarkan, drama bersiri biografi Imam Al-Syafie Risalah Imam Al-Syafie. Bertepatan slogan pada tahun ini, drama sejarah agama yang intipatinya mengisahkan perjalanan imam besar dalam mazhab Sunni serta sikap beliau dalam menghadapi perbezaan pendapat ini sangat sesuai dijadikan panduan untuk menyelesaikan kemelut umat Islam dalam perkara perselisihan pendapat; supaya hidup yang lebih indah dapat dinikmati umat Islam sekiranya agama dijadikan panduan.

Garapan yang sangat memaku mata dan menyentuh jiwa dalam drama 30 episod ini memaparkan bagaimana perjalanan enam tahun terakhir Imam Al-Syafie sewaktu di Mesir dan pengaruhnya pada ketamadunan Mesir yang membawa kesan besar sehingga hari ini.

Dalam menjayakan misi dakwah dan pencerahan dalam bidang usul fiqah kepada masyarakat, pelbagai mehnah dan tribulasi dihadapi beliau dengan penuh keimanan dan keyakinan bahawa Allah itu tempat hamba menyerah semua urusannnya.

Bermula 1 Ramadan juga, Kapsul Ibrah Ramadan, rancangan yang mengandungi tausiah dan pengisian rohani, disampaikan Dato’ Setia Dr Naim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) akan bersiaran sepanjang Ramadan pada pukul 11:00, 4.30 petang dan 7:00 malam.

Rancangan Apa Cerita Kome? yang disiarkan setiap hari juga bermula 1 Ramadan, 4:30 petang pula adalah tazkirah santai oleh Dato’ Kazim Elias di mana persoalan dan kekeliruan yang sering dihadapi umat Islam Ketika Ramadan akan dijawab secara tuntas.

Peristiwa Ramadan yang juga dimulakan siarannya pada 1 Ramadan, pukul 10:00 malam setiap Isnin hingga Jumaat membawa penonton menghayati penceritaan peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadan ketika zaman Rasulullah SAW, disampaikan dalam bentuk teater muzikal untuk mewujudkan kesegaran pengkisahan.

Manakala rancangan Cinta Ilmu Ramadan pula menumpukan kupasan seputar hukum-hakam dan larangan pada bulan Ramadan secara terperinci untuk menambah ilmu yang mungkin belum mantap lagi pada mereka yang sentiasa berusaha meningkatkan bekalan diri.

Turut mengisi calendar 1 Ramadan, setiap hari pada pukul 5:00 petang, Camca Ramadan akan mengajak penonton mencuba menu Meditranean yang diajar oleh barisan chef Timur Tengah yang memasak Bersama Ustaz Ammar Mukhlis.

Sembang Moreh, rancangan yang sering dinantikan penonton pada Ramadan juga dibariskan dalam rancangan yang akan memulakan siarannya bermula 1 Ramadan ini. Bersiaran Isnin hingga Rabu, 11:00 malam, Saudara Hanan bersama jemputan bertauliah dan personaliti membincangkan isu lazim yang menjadi persoalan pada bulan Ramadan.

Kapsul Taranum Challenge, uji daya taranum Al-Quran antara Ustaz Fahmi Asraf selaku hos tetap dan orang awam memaparkan kepada penonton lagu taranum yang pebagai iramanya. Ia bersiaran Isnin hingga Jumaat, pukul 7:25 malam.

Manakala itu, Ayat Riwayat Risalah Anbiya yang disiarkan setiap hari pada pukul 4:00 petang bermula 1 Ramadan ini mengajak penonton menoleh sejarah kegemilangan empayar negara Syam (Bilad As-Syam) suatu ketika dahulu yang kini telah dipecahkan kepada beberapa negara seperti Lubnan, Palestin, Syria dan Jordan oleh perancangan yang rapi pihak tertentu.

Rancangan Ihya’ Ramadan yang telah bermula pada 4 Mac, setiap Isnin hingga Jumaat pada 4:30 petang disajikan dalam bentuk tausiah fiqh Ramadan dan tasawuf yang lebih jelas dan mudah difahami penonton.

Tadarus Al-Quran@114, rancangan yang sinonim dengan TV AlHijrah juga telah pun menjenguk penonton sejak 7 Mac lalu. Ia mengajak penonton untuk sama-sama mengalunkan bacaan Al-Quran sepanjang Ramadan sehingga menuju Khatam Ramadan, siaran langsung selama 14 jam pada 6 April, pukul 5.00 pagi hingga 7:00 malam yang menampilkan gabungan imam besar masjid, asatizah, qari-qariah, selebriti, kanak-kanak, golongan Istimewa dan mualaf dalam mengimarahkan bacaan Al-Quran.

Lakonan Datuk M. Nasir, Faizal Hussein dan Vanidah Imran sebagai peneraju utama filem ini dijangka dapat menyampaikan wacana karya besar adaptasi novel Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein. Ia bakal disiarkan pada 31 Mac ini, pukul 9:00 malam.

Filem Imam yang dipilih khas mengisi minda dan mencetus sedar para penonton tentang perlunya adab dalam menyelesaikan segala pertikaian dalam masyarakat terutamanya umat Islam pula dijangka mampu mendokong slogan Ramadan kali ini. Keindahan yang perlu ditadabbur melalui pesanan agama secara simbolik mahupun nyata haruslah menjadi agenda umat Islam dalam mencari titik temu dalam setiap pertikaian; kerana keindahan bersilatur rahmi itu melebihi segala agenda memenuhi nafsu sendiri.

Salah satu adegan dalam filem Imam yang bakal disiarkan pada 31 Mac ini, 9:00 malam di TV AlHijrah.

Filem lain yang juga turut terpilih mengisi kalendar Ramadan ialah Perjalanan Pertama yang mengisahkan Yahya, kanak-kanak yang sering mempersoalkan identiti ibu bapanya. Ia ditayangkan pada 9:00 malam, 17 Mac ini.

Rancangan-rancangan lain sempena Ramadan pula ialah:

Syahadah Al-Furqan, 16 Mac, setiap Sabtu, 10:30 malam. Dokumentari kisah kehidupan pelajar tahfiz dalam mencapai Syahadah Al-Furqan.

Durioo D’Hijrah, setiap hari sepanjang Ramadan, 2:30 petang. Kartun dan animasi Islamik daripada platform Durioo+ ke kaca TV AlHijrah.

Ana Muslim, setiap hari sepanjang Ramadan, 9:00 malam. Himpunan doa harian dan lagu nasyid untuk santapan jiwa dan minda anak-anak.

Sihat Bersama Ibnu Sina setiap Sabtu, 10:00 malam bermula 16 Mac. Membangkitkan matlamat hidup tanpa tekanan, kebimbangan melampau dan tekanan jiwa bersama Ibnu Sina Wellness dan pakar berpengalaman serta selebriti tanah air.

Ehsan, 29 Mac, 5:00 petang. Membincangkan isu berkaitan kemiskinan serta inisiatif yang dilakukan untuk menangani masalah ini Bersama Yayasan Global Ehsan.

Selain memenuhi aktiviti seharian dengan ibadat khusus dan pengisian rohani, TV AlHijrah juga secara tradisinya meneruskan agenda menyantuni masyarakat sekeliling dengan mengambil kesempatan bulan mulia ini untuk menjalankan khidmat masyarakat melalui rancangan Hijrah Prihatin saban tahun.

Aktiviti mengedarkan bubur lambuk kali ini dijalankan sebagaimana jadual berikut:

18 Mac – Wakaf AnNur, Johor

21 Mac – Pusat Komuniti Desa Jawa, Hulu Langat

22 Mac – Masjid Saidina Ali, Gombak

26 Mac – PPR Desa Tun Razak, Cheras

27, 28 dan 29 Mac – KTM Arau dan Masjid Negeri, Arau.

Kekal Bersama TV AlHijrah sepanjang Ramadan, sama-sama kita menjadi pentadabbur keindahan cinta Allah melalui keindahan KalamNya.

(110)

Tadabbur keindahan kurniaan Allah mekarkan rasa syukur sepanjang Ramadan, elak rasa sombong bongkak

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>