Takut jarum bukan perkara main-main, ia ketakutan benar, boleh akibatkan individu lari dari hospital

MUNGKIN kita tergelak melihat sebuah video yang dikongsikan berkaitan dengan individu (selalunya lelaki) yang menjerit ketakutan sehingga terpaksa dipegang beberapa orang kawan sewaktu mahu disuntik dalam program vaksinasi.

Kita mungkin terfikir, bagaimana lelaki berbadan besar, mungkin berkumis garang dan memakai uniform keselamatan begitu sekali ketakutannya hanya kerana sebilah jarum kecil?

Sebenarnya ketakutan ini adalah suatu ketakutan yang sebenar. Ia bukan lakonan atau adegan mengada-ngada manja, sebaliknya ia bermain di minda.

Masalah ketakutan ini dinamakan trypanophobia, ketakutan terhadap prosedur perubatan yang melibatkan jarum suntikan ketika suntikan ubat atau pemeriksaan darah. 

Biasanya ketakutan ini dialami oleh kanak-kanak kerana mereka masih belum boleh berfikir secara rasional dan logik. Mereka membayangkan suntikan jarum akan menyebabkan rasa sakit melampau atau bakal memberi kemudaratan.

Apabila dewasa, ketakutan ini berkurangan kerana orang dewasa dapat berfikir secara rasional dan logik. Secara logik, mereka berfikir bahawa kesakitan yang dialami mungkin hanya untuk sementara dan tidak rasa terlalu sakit.  Namun ada sesetengah individu (lelaki dan wanita) dewasa yang mempunyai ketakutan ini.

Mengapa mereka ketakutan sebegini? Terdapat banyak punca dan ia berkait antara satu sama lain. Antara teori yang diketengahkan adalah berpunca dari masalah keturunan (genetik).

Ada sesetengah individu dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai masalah ketakutan (phobia). Ada yang takut dengan lipas, ada yang takut di bilik gelap, ada yang takut berada di ruang yang sempit dan banyak lagi.

Takut pada jarum dikategorikan dalam trypanophobia, ketakutan terhadap prosedur perubatan yang melibatkan jarum suntikan ketika suntikan ubat atau pemeriksaan darah. Gambar: FB: Infoduniaku

Mereka yang lahir di kalangan ahli keluarga yang mempunyai masalah phobia, selalunya mengalami masalah yang sama. Mereka mungkin phobia pada satu perkara atau banyak perkara.

Contohnya semasa kecil, dia pernah melihat ayahnya melompat ke atas kerusi kerana takutkan lipas. Ia difahami bahawa seekor lipas adalah berbahaya dan boleh memberikan kemudaratan. Hal ini akan tertanam di minda kanak-kanak itu dan membawa interpretasi ini sehingga beliau menjadi dewasa.

Pengalaman ngeri berkaitan dengan suntikan jarum juga mempengaruhi tahap ketakutan ini. Sebagai contoh seorang individu pernah disuntik dan mengalami kesan sampingan ubat seperti alahan kulit yang teruk, mungkin akan membayangkan pengalaman yang sama akan berulang walaupun bahan suntikan yang diberikan adalah berbeza.

Sesetengah individu pula mempunyai tahap tahan sakit yang rendah. Mereka tidak sanggup menghadapi sesuatu pengalaman yang menyakitkan. Bagi orang lain, suntikan mungkin tidak memberikan rasa kesakitan, tetapi orang sebegini, suntikan jarum dirasakan sebagai sesuatu yang amat menyakitkan.

Kita boleh mengetahui seseorang itu mengalami trypanophobia jika mereka mengadu tanda-tanda ketakutan sehari sebelum disuntik atau ketika menunggu giliran untuk disuntik. Mereka akan berasa pening, pitam, tekanan darah meningkat dan degupan jantung menjadi laju. Sesetengahnya pula mengalami ‘panic attack’ sebaik saja nama mereka dipanggil.

Sehari sebelum disuntik, mereka akan termenung dan tiada selera untuk makan kerana terlalu risau, tidak boleh tidur malam sehari sebelum disuntik dan berfikir untuk tidak hadir ke hospital. Jika dipaksa juga, mereka akan menjadi ganas secara emosi dan fizikal, juga berkemungkinan lari dari hospital.

Sehari sebelum disuntik, mereka akan termenung dan tiada selera untuk makan kerana terlalu risau, tidak boleh tidur malam sehari sebelum disuntik dan berfikir untuk tidak hadir ke hospital. Jika dipaksa juga, mereka akan menjadi ganas secara emosi dan fizikal, juga berkemungkinan lari dari hospital.

Mereka hanya membayangkan rasa sakit atau pengalaman ngeri yang lepas. Jadi mereka tidak ‘makan pujuk’ dan proses memujuk akan memakan masa yang lama tanpa sebarang hasil yang positif.

Jika suntikan itu bukan suatu prosedur yang perlu dilakukan cepat (emergency) bagi menyelamatkan nyawa, mereka boleh dirawat secara psikologi. Rawatan ini bukan saja dapat membantu mereka menghadapi masalah ketakutan pada jarum, tetapi juga ketika menghadapi masalah ketakutan yang lain. Rawatan ini mengambil masa beberapa lama, dan ada kalanya ia tidak berjaya.

Selalunya saya mencadangkan beberapa rawatan, jika suntikan itu terlalu penting. Antaranya:

1. Cognitive behavioral therapy (CBT).  Ia adalah teknik kaunseling di mana pakar terapi akan cuba mencungkil punca rasa takut dan bagaimana menghadapi perasaan takut itu.

2. Terapi pendedahan. Ia juga teknik kaunseling di mana pakar terapi cuba menukar cara pesakit berfikir dengan cara pesakit bermain dengan jarum, dedahkan sedikit rasa ketika disuntik. Lama kelamaan pesakit dapat menerima rasa takut itu.

3. Ubat-ubatan sintetik diberikan jika rawatan kaunseling tidak berjaya. Ubat penenang (ubat sedative) akan merehatkan tubuh dan rasa ketakutan ini.

Bagi mereka yang mengalami masalah trypanophobia, saya cadangkan agar mendapat rawatan dari pakar terapi. Ini kerana ketakutan melampau (phobia) bukan saja boleh menyusahkan diri sendiri, ia juga boleh menjejaskan hubungan suami-isteri.

*Gambar sekadar hiasan

Takut jarum bukan perkara main-main, ia ketakutan benar, boleh akibatkan individu lari dari hospital

| Kesihatan, Kolumnis, Semasa |