Tekun berusaha, tidak lupa agama kunci kejayaan pelajar muslimah raih anugerah cemerlang di luar negara

“SAYA percaya dengan pepatah ‘if you’re going to do something, do it right or don’t do it at all’ (sekiranya anda mahu melakukan sesuatu, lakukan dengan betul atau tidak lakukannya sama sekali).”

Inilah pegangan Nur’iffa Nazirah Taini Achim atau lebih dikenali sebagai Iffa, pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang berjaya merangkul kejayaan Class of 2020 Deparmental Award dari Jabatan Mikrobiologi dan Genetik Molekular, College of Natural Science.

Bertepatan dengan saranan agama melalui hadith daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda; “Allah kasih apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu amalan hendaklah buat secara tekun,” ternyata janji Allah itu benar belaka.

Iffa, anak sulung daripada lima beradik berusaha keras untuk meraih keputusan cemerlang dalam setiap semester pengajian dalam bidang Microbiologi di Universiti Michigan (MSU), Amerika Syarikat (AS) dan menerima anugerah Dietrich C Bauer Scholarship Award (High Honor Distinction).

Penganugerahan itu berdasarkan kepada kecemerlangan akademik sepanjang tempoh pengajian dan kualiti serta potensi kajian yang dijalankan.

Menurut Iffa, anugerah itu diberikan untuk pelajar yang menduduki peratusan enam peratus teratas dari seluruh ‘graduating class of 2020’.

Walaupun tekun belajar, Iffa tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai khalifah. Beliau tetap menyertai aktiviti dakwah yang telah sebati dengan jiwanya sebelum ini. Pelajaran bukanlah penghalang baginya untuk terus berjuang di jalan Allah.

Walaupun tekun belajar, Iffa tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai khalifah. Beliau tetap menyertai aktiviti dakwah yang telah sebati dengan jiwanya sebelum ini. Pelajaran bukanlah penghalang baginya untuk terus berjuang di jalan Allah.

Aktif dalam dalam Biro Komunikasi dan Multimedia (BKOM) ISMA-USC (2018-2020), Iffa bagaimanapun mengakui bahawa tidak mampu untuk melakukan kedua-duanya sekali gus tanpa bantuan rakan-rakan usrah, kakak naqibah dan ahli ISMA USC yang lain.

“Saya rasa bersyukur dan amat gembira berada dalam kalangan orang yang baik-baik ini kerana saya tahu saya takkan jadi siapa saya sekarang jika saya tidak bergaul dengan mereka dan berada di jalan ini.

“Jujur saya katakan, ada waktu-waktunya saya juga pernah rasa malas, tidak bermotivasi, tertekan untuk buat kerja-kerja dakwah. Tetapi apabila saya fikirkan tentang rakan-rakan saya yang lain di dalam biro betapa gigihnya, susahnya untuk mereka hidupkan program dakwah di AS, saya tahu saya perlu bantu mereka,” katanya kepada Ismaweb.

Dikelilingi oleh rakan-rakan yang positif, tidak mementingkan diri sendiri, berkerja keras dan memahami banyak membantu usaha Iffa menyeimbangkan pelajaran dan aktiviti dakwahnya.

“Secara peribadi dari pengalaman saya sendiri, program dakwah di sini amatlah susah dan berat tetapi rakan-rakan saya tidak pernah berhenti usaha sedaya upaya untuk aktiviti dakwah di AS dan saya berasa amat bersyukur saya sebahagian darinya,” luah Iffa.

Iffa adalah contoh musafir fi sabilillah yang tidak pernah lupa jati diri sebagai seorang muslimah walaupun menjadi kebanggaan dunia. Bak kata pepatah terlempar ke laut menjadi pulau; Iffa tidak hanyut oleh suasana di sekelilingnya.

Gambar: Nur’iffa Nazirah Taini Achim (ismaweb.net)

Tekun berusaha, tidak lupa agama kunci kejayaan pelajar muslimah raih anugerah cemerlang di luar negara

| Semasa |