Teringat masa dulu – Komboi nyoq

PERNAHKAH anda makan komboi? Orang Terengganu memanggilnya tombong nyior, manakala di Perlis ia dikenal sebagai komboi nyoq. Zaman sebelum adanya santan segera dan santan kotak, para ibu dan anak-anak kecil pastinya pernah bertemu komboi ini sewaktu membelah kelapa.

Maklumlah, pada waktu itu untuk mendapatkan santan, kelapa perlu dikopek terlebih dahulu. Jika tiada kelapa yang baru gugur, kelapa tua yang sudah lama tergeletak di bawah rumah pun diguna, biarpun sudah tumbuh tunas dan adakalanya sudah berdaun.

Buah kelapa pada tahap ini telah bertunas, dan di dalamnya terdapat komboi yang bertindak sebagai akar kepada tunas di luar. Apabila tunas semakin besar, komboi pun menjadi semakin besar dan banyak airnya, manakala isi kelapa semakin menipis.

Zaman kecil-kecil dahulu, anak-anak kecil akan menunggu “upacara” membelah kelapa yang bertunas. Waktu itu mereka sudah mengenal aturan alam, jika tunasnya di luar masih kecil, pasti komboinya masih kecil, begitulah sebaliknya.

Maka berebutlah mereka memilih kelapa bertunas muda untuk mendapatkan komboi yang kecil. Kenapa mahu yang kecil? Komboi kecil lebih manis, padat dan rangup rasanya kerana masih belum berair, manakala komboi yangg telah besar isinya banyak air dan rasanya tawar.

Begitulah cara orang tua-tua dahulu mendidik anak dan memperkenalkan mereka dengan alam. Sedari kecil mereka sudah diajar meneka ulas manggis melalui tampuknya dan meneka saiz komboi melalui tunas buahnya.

Apabila hanya ada sebiji komboi kecil dan anak-anak yang menunggu pula ramai, biasanya atas kebijaksanaan ibu bapalah yang meleraikan pergaduhan. Mereka yang belum pernah makan komboi akan diutamakan.

Kalau semua sudah pernah makan, bagaimana pula mahu dibahagikan? Dari situlah selalunya orang tua-tua akan “mengugut” dengan pantang-larang; siapa yang banyak makan komboi nanti senang dapat buasir! Maka yang selalu sangat makan komboi dengan rela hatinya menyerahkan komboi yang berjaya direbutnya kepada kawan lain.

Begitulah cara orang tua-tua dahulu mendidik anak dan memperkenalkan mereka dengan alam. Sedari kecil mereka sudah diajar meneka ulas manggis melalui tampuknya dan meneka saiz komboi melalui tunas buahnya.

Namun apabila santan segera dan santan kotak mula menjadi pilihan, nama komboi pun mula hilang. Mungkin suatu hari nanti, kelapa pula mengalami nasib yang sama. Anak-anak mungkin hanya tahu namanya, tanpa berpeluang melihat rupa sebenarnya.

Sumber gambar: FB Remaja

Teringat masa dulu – Komboi nyoq

| Keluarga |