Teringat masa dulu – Senapang kayu dan terung rembang

PERNAH tak pada zaman kecil-kecil dulu anda bermain senapang kayu? Kalau pernah, pastinya anda telah melalui suatu zaman yang manis di mana pada zaman itu kanak-kanak telah diajar kreatif dan inovatif serta menghargai alam.

Antaranya, sedari kecil seumur tujuh tahun sudah pandai mencipta senapang kayu untuk main tembak-tembak dan menyemai semangat patriotik dalam jiwa mereka.

Boleh dikatakan anak-anak kampung tak kira lelaki atau perempuan akan ada selaras senapang kayu yang dihasilkan sendiri, atau dengan bantuan rakan-rakan sepermainan.

Dari sekeping papan yang senang didapati di sekitar kampung, gambar senapang idaman dilakar dengan arang kayu di atas papan tersebut. Kemudian papan digergaji mengikut lakaran.

Apabila siap, sebuah pemetik dari baki kayu dibuat dan diletakkan di bahagian belakang senapang sebagai pemicu. Kedudukannya tidaklah sama sebagaimana pemicu biasa kerana senapang kayu ini hanyalah berbentuk sekeping papan dibentuk.

Begitulah kanak-kanak zaman dahulu bermesra dengan alam dan menyuburkan kreativiti mereka. Secara tidak langsung permainan seperti ini mendedahkan mereka kepada banyak nilai positif yang boleh menjadi panduan mereka apabila dewasa.

Kemudian muncung senapang akan diikat dengan getah di depan. Gelang getah diletakkan di situ untuk diikat kepada terung yang diletakkan di bahagian pemicu. Apabila pemicu ditekan ke bawah, terung akan terlepas ke hadapan. Kelajuan bidikan bergantung kepada panjang senapang dan ketegangan getah.

Walaupun nampak ringkas, dalam jarak beberapa meter akan berbekas jugalah badan terkena bidasan buah terung, apatah lagi apabila tembakan terkena di bahagian muka.

Kanak-kanak akan membentuk dua kumpulan, selalunya sekumpulan askar yang mempertahankan negara melawan komunis. Ahli kumpulan akan dipilih secara sukarela, namun selalunya tiada yang mahu menyertai kumpulan komunis, maka undian terpaksa dilakukan.

Mereka akan berperang di dalam belukar di sekitar kampung. Kebolehan memanjat pokok, bersembunyi dalam sungai dan paya atau kelasakan memanjat bukit sudah sebati dengan kanak-kanak kampung.

Sesiapa yang berjaya ditembak atau ditawan akan dirampas semua pelurunya. Permainan akan berlarutan sehingga semua ahli sesebuah pasukan ditembak atau ditawan.

Begitulah kanak-kanak zaman dahulu bermesra dengan alam dan menyuburkan kreativiti mereka. Secara tidak langsung permainan seperti ini mendedahkan mereka kepada banyak nilai positif yang boleh menjadi panduan mereka apabila dewasa.

Teringat masa dulu – Senapang kayu dan terung rembang

| Keluarga |