Terlantar akibat serangan strok, tidak dipedulikan lima anak, sewa rumah wanita ini juga tertunggak dua bulan

MAIMUN Said, 50, mengalami serangan strok pertama pada Oktober tahun lalu sebelum sekali lagi mengalami serangan sama  pada  Januari lalu. Serangan itu dipercayai berpunca daripada penyakit darah tinggi kronik yang dihidapinya sebelum ini. 

Serangan strok kali kedua semakin memburukkan pendarahan yang berlaku di otak sebelum ini, menyebabkan Maimun terlantar, tidak boleh bercakap apatah lagi menggerakkan tubuh badan dan terpaksa mengharapkan bantuan anak-anak untuk menguruskan dirinya.

Tambah malang, ibu kepada lapan cahaya mata ini turut diuji apabila tidak dipedulikan lima anaknya. Hanya tiga anak paling kecil boleh diharap menjaganya yang terlantar.

Maimun tidak boleh bercakap dan menggerakkan tubuh badan selain terpaksa mengharapkan bantuan anak-anak untuk menguruskan diri dan ke bilik air.

Sebelum ini anak lelakinya bekerja, tetapi untuk memastikan keselamatan Maimun, dia berkorban dengan berhenti kerja dan menguruskan ibunya sepenuh masa. Tanggungjawab mencari nafkah kini ditanggung anak perempuannya yang bekerja di sebuah kilang dengan gaji bulanan RM1,200 untuk menampung perbelanjaan mereka berempat.

Kehidupan mereka makin terbeban apabila pendapatan yang tidak seberapa anaknya itu perlu digunakan untuk menanggung kos perubatan dan lampin pakai buang Maimun yang memerlukan belanja tinggi setiap bulan.

Ini menyebabkan sewa rumah berjumlah RM700 sebulan sudah dua bulan tertunggak. Akibat kekangan kewangan, anak bongsu Maimun yang masih bersekolah di Tingkatan Tiga keciciran dalam pelajaran disebabkan dia tidak mampu membeli komputer peribadi berikutan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang menjadi alternatif pembelajaran norma baharu.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 28 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank)

Gambar: Maimun kini mengharapkan bantuan anak-anak untuk menguruskan dirinya yang terlantar selepas dua kali diserang strok.

Terlantar akibat serangan strok, tidak dipedulikan lima anak, sewa rumah wanita ini juga tertunggak dua bulan

| Advertorial, Semasa |