July 27, 2024 11:01 AM
LOGO-HBIT

Terpaksa buat dua kerja demi tampung kos rawatan anak kembar pra-matang, perlu suntik vaksin setiap bulan

PASANGAN muda Muhammad Suhaimi Abdul Gharapar, 28, dan isteri, Shafiqahtun Naemah Shaari, 27, dikurniakan pasangan kembar tidak seiras selepas diuji kehilangan kandungan pertama dan kedua pada tahun 2018 dan 2019.

Namun kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila Puteri Camelia Athena dan Putera Zakwan Zayyan, yang dilahirkan pada 27 Oktober tahun lalu berdepan komplikasi kesihatan iaitu masalah paru-paru kronik, jantung berlubang, darah beku di kepala, masalah mata dan usus yang belum sempurna berikutan kelahiran pra-matang iaitu ketika usia kandungan baharu mencecah enam bulan atau pada minggu ke-27.

Kehidupan pasangan ini semakin mencabar lebih-lebih lagi perlu memberi sepenuh perhatian terhadap bayi mereka. Namun, ujian yang dihadapi tidak mematahkan semangat pasangan ini. Walaupun kini hanya bergantung sepenuhnya kepada pendapatan Muhammad Suhaimi yang berjumlah antara RM1,000 hingga RM1,500, mereka tabah mengharungi kehidupan.

Muhammad Suhaimi bekerja sebagai pembantu kedai gigih membanting tulang empat kerat dengan melakukan kerja sambilan demi menampung isteri dan dua anak memandangkan kondisi kesihatan anak dan duit simpanan semakin susut, selain isterinya terpaksa berhenti kerja untuk menumpukan sepenuh perhatian menjaga kedua-dua bayi mereka.

Suhaimi gigih membanting tulang empat kerat dengan melakukan kerja sambilan untuk menampung kos perubatan bagi memastikan anak kembarnya dapat membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain.

 Walaupun melakukan dua perkerjaan, pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi memandangkan memiliki anak kembar menyebabkan perbelanjaan bulanan menjadi dua kali ganda di mana susu dan lampin pakai buang perlu disediakan untuk dua orang. Lebih-lebih lagi kedua-dua anaknya perlu mendapatkan suntikan vaksin untuk menguatkan paru-paru, di mana setiap suntikan berharga RM 3,800 bagi setiap seorang.

Suntikan vaksin itu bermula selepas mereka dilahirkan sehingga berusia lima bulan. Setiap bulan pasangan ini perlu menyediakan RM7,600 untuk suntikan. Jumlah keseluruhan yang perlu dibayar adalah RM38,000. Mereka bersyukur kerana menerima bantuan amanah zakat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang menanggung sepenuhnya kos suntikan terbabit.

Walaupun tidak lagi memerlukan vaksin berkenaan, namun pasangan kembar ini masih memerlukan ubat tambah darah dan suplemen tambahan bagi memastikan mereka membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak lain.

Mereka juga masih perlu  menjalani rawatan dan pemeriksaan susulan dengan pakar kanak-kanak, pakar mata dan pakar usus di Hospital Tuanku Jaafar mengikut tarikh ditetapkan.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 62 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Puteri Camelia Athena dan Putera Zakwan Zayyan, 11 bulan, membesar dengan sihat walaupun masih perlu menjalani pemeriksaan susulan dengan pakar kanak-kanak, pakar mata dan pakar usus di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban mengikut tarikh ditetapkan.