Tiada bukti klinikal tuala wanita komersial sebabkan penyakit kanser

BANYAK soalan tentang keselamatan penggunaan tuala wanita komersial, apakah benar ia boleh menyebabkan kanser?

Sjarah penggunaan tuala wanita juga bukanlah baru. Beribu tahun dahulu, para wanita bangsawan menggunakan kain khas, manakala wanita dari golongan miskin menggunakan kain yang dicuci dan kemudian digunakan semula.

Tuala wanita dijual secara komersial pada tahun 1896 di Amerika Syarikat oleh Johnson & Johnson dan diberikan jenama Lister’s Towels menggunakan kain biasa.

Tidak berapa lama kemudian Kotex menggunakan bahan pulpa kayu yang yang dialas dan dibalut dengan kain dan dijual secara komersial pada tahun 1921. Pulpa kayu digunakan kerana ia mudah didapati, murah dan dapat menyerap darah dengan banyak.

Bagi mengurangkan ketebalan tuala wanita pula, pengeluar menggunakan bahan seperti sphagnum dan polyacrylate iaitu penyerap cecair yang sangat berkesan diperbuat dari industri perhutanan dan petroleum.

Dalam teknologi moden, pulpa dari tumbuhan dilunturkan dengan bahan kimia klorin, dengan ini saiz tuala wanita itu tidak menjadi terlalu tebal. Selain itu gel polyacrylateyang diproses dari industri petroleum dicampurkan untuk menyerap darah dengan cepat. Polypropylene juga digunakan sebagai pelapis luar pada tuala wanita ini agar ia tidak bocor.

Tuala wanita komersial menjadi pilihan kerana senang diurus berbanding jenis kain yang perlu dibasuh sebelum digunakan semula.

Namun terdapat dakwaan yang menyatakan penggunaan bahan lebih berbahaya digunakan, antaranya dioksin bagi tujuan pelunturan. Walaupun kandungan bahan ini adalah rendah, ia masih berbahaya kerana kesan pengumpulan dioksin pada kulit (di bahagian kemaluan).

Ini dikhuatiri boleh menyebabkan penyakit radang pelvik, kanser ovari, kerosakan sistem imun, hormon yang tidak stabil, masalah kesuburan, penyakit  kencing manis dan penyakit tiroid. Begitu juga rayon kerana ia juga mempunyai dioksin di dalamnya.

Selain itu, racun perosak dan racun rumpai yang disemburkan dan kekal berada pada tanaman kapas. Antara bahan-bahan yang berbahaya dan diharamkan yang didakwa ditemui dalam tuala wanita ialah octachlorinated dioksin (OCDD), hexachlorodibenzofuran (HxCDF) dan chlorodibenzofuran (OCDF).  Ini dikaitkan dengan kesan-kesan seperti ketidaksuburan, gangguan hormon, kerosakan tiroid, diabetes, endometriosis dan kemurungan.

Saya secara peribadi tidak yakin bahan-bahan ini boleh memudaratkan kerana setiap pengeluar dan kilang harus mematuhi piawaian pengilangan pada setiap negara.

Penyerapan bahan-bahan toksik yang berkepekatan rendah ini tidak memberikan kesan sampingan yang signifikan terhadap kesihatan seorang wanita. Namun saya tidak menafikan sebahagian kecil wanita yang sensitif, mungkin mengalami masalah dengan pemakaian tuala wanita yang komersial.

Menggunakan tuala wanita untuk tempoh yang panjang (melebihi 4 jam) boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria staphylococcus aureus dalam faraj. Bakteria ini yang menyebabkan pengeluaran toksin beracun ke dalam aliran darah.

Ini kerana tuala wanita yang mengandungi bahan-bahan sintetik boleh menyebabkan kawasan kemaluan menjadi lembap kerana ia menghalang peredaran udara di situ sehingga menyebabkan pertumbuhan kulat dan bakteria.

Menggunakan tuala wanita untuk tempoh yang panjang (melebihi 4 jam) boleh menggalakkan pertumbuhan bakteria staphylococcus aureus dalam faraj. Bakteria ini yang menyebabkan pengeluaran toksin beracun ke dalam aliran darah.

Namun begitu tiada kajian klinikal yang mengesahkan penggunaan tuala wanita ini dengan penyakit-penyakit seperti penyakit radang pelvik, kanser ovari, kerosakan sistem imun, hormone yang tidak stabil, masalah kesuburan, penyakit kencing manis dan penyakit tiroid.

Kesimpulannya penggunaan tuala wanita yang biasa dijual secara komersial di pasaraya telah cukup asalkan wanita itu memilih jenis tuala wanita yang sesuai dengan dirinya dan tidak menggunakankan dalam tempoh yang lama.

Gambar hiasan: Sebuah kilang pemprosesan tuala wanita di China. (Info Semasa Sejati)

Tiada bukti klinikal tuala wanita komersial sebabkan penyakit kanser

| Kesihatan, Kolumnis, Semasa |