Tidak biarkan pesakit nazak terkilan, bekas paramedik bantu tunaikan permintaan terakhir pesakit Covid-19

MENUNAIKAN permintaan terakhir pesakit yang sedang berdepan kematian adalah satu jasa murni yang akan dikenang hingga mati oleh mereka yang akan meninggalkan dunia.

Wajah Kees Veldboer akan diingati pesakit dan dibawa mati oleh setiap mereka yang terhutang budi dengan perkhidmatan yang disediakannya – membantu merealisasikan permintaan terakhir seseorang.

Bekas paramedik berusia 60 tahun ini membeli sebuah ambulans untuk digunakan sebagai kenderaan bagi membawa pesakit untuk menyempurnakan hajat terakhir mereka, lapor Daily Mail.

Veldboer tidak sanggup melihat para pesakit Covid-19 ini meninggal sendirian, tanpa seseorang di sisi. Beliau cuba berusaha menghiburkan hati mereka dengan membawa mereka ke tempat yang dihajati buat kali terakhir.

Sebagai pengasas Stichting Ambulance Wens (Ambulance Wish Foundation), setakat ini beliau telah membantu 14,000 ribu permintaan di kalangan pesakit yang tenat untuk ke tempat yang dihajati dan mengucapkan selamat tinggal kepada dunia.

Beliau bersama isterinya Ineke, 61 tahun menjadikan usaha murni ini sebagai kerja sepenuh masa mereka.

Menurut mereka, antara permintaan pesakit yang berjaya ditunaikan baru-baru ini ialah membawa seorang lelaki mengucapkan selamat tinggal kepada kudanya, melawat bot dan beberapa pesakit pula berhasrat melihat kembangan tulip di taman.

Veldboer dibantu isterinya Ineke mengusahakan perkhidmatan menunaikan impian para pesakit untuk ke tempat idaman mereka buat kali terakhir. FOTO DAILY MAIL

Walaupun Belanda sedang menjalani perintah berkurung, namun Veldboer berjaya mambawa beratus-ratus pesakit membuat perjalanan terakhir mereka kerana peraturan di Belanda sedikit longgar berbanding negara Eropah lain pada Mac lalu.

Kerajaan Belanda yang dipimpin Perdana Menteri, Mark Rutte mengenakan peraturan “perintah berkurung pintar”, di mana hanya perniagaan melibatkan sentuhan seperti salun kecantikan dan kedai gunting dilarang beroperasi.

Walaupun dinasihatkan berada di rumah, warganegara Belanda dibenarkan keluar dengan mengekalkan jarak sosial sekurang-kurangnya 1.5 meter antara mereka.

Peluang Ini digunakan Veldboar untuk meneruskan khidmatnya terhadap para pesakit tersebut.

“Kami akan menunaikan permintaan mereka walaupun kita sedang berdepan Coronavirus. Kami bukan dikenakan perintah berkurung secara total, jadi kami masih boleh menjelmakan impian mereka menjadi kenyataan.

“Kami dibenarkan ke tempat terbuka, ke taman bunga, ke zoo kosong, taman dan banyak permintaan untuk melihat laut… ia tidak dilarang,” jelas Veldboer.

Mengunjungi tempat terbuka yang tidak ramai orang, sekadar satu atau dua pesakit tidak menjadi halangan di Belanda sewaktu berdepan pandemik ini.

Gambar: Seorang wanita yang sedang menunggu saat kematian tersenyum kerana hajatnya untuk bersiar di ladang tulip buat kali terakhir ditunaikan oleh Veldboer. (DAILY MAIL)

Tidak biarkan pesakit nazak terkilan, bekas paramedik bantu tunaikan permintaan terakhir pesakit Covid-19

| Semasa |