Tidak mahu kanak-kanak seusia lima tahun jadi pelombong mineral, pemuda ini tubuh sekolah ubah nasib mereka

INSAN yang berjiwa besar tidak akan membiarkan orang lain mengulangi nasib malang yang ditempuhinya, sebaliknya mencari jalan untuk memperbaiki kehidupan mereka supaya lebih baik berbanding dengan apa yang pernah dihadapinya.

Begitulah Neeraj Murmu, pemuda berusia 21 tahun dari Mumbai yang pernah bekerja sebagai pelombong di lombong mika sewaktu masih kanak-kanak. Nasib Murmu berubah setelah beliau diselamatkan ketika berusia 11 tahun dan berpeluang ke sekolah.

Beliau yang merupakan pelajar sains politik kini telah mendirikan sekolah di kampungnya di timur India untuk menyelamatkan kanak-kanak lain dari menerima nasib seumpamanya dahulu.

Usaha murni Murmu itu mendapat perhatian sehingga beliau dinobatkan sebagai pemenang anugerah sempena memperingati Puteri Diana.

Anugerah yang diwujudkan bagi menghargai anak muda yang telah menunjukkan kemampuan dan memberi inspirasi serta menggerakkan generasi baru untuk menyumbang kepada masyarakat itu mengiktiraf 23 pemuda India, di mana salah seorang daripadanya ialah Murmu.

“Meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar adalah sesuatu yang mencabar, tetapi saya mencagarkan diri saya sebagai contoh,” kata Murmu.

Murmu memulakan sekolah itu empat tahun yang lalu di Jharkhand, salah satu negeri termiskin di India setelah dia diselamatkan dari lombong mika, sejenis mineral yang digunakan dalam komsetik dan cat kereta, lapor Sky News.

Beberapa tahun kemudian, dia menyewa bilik dengan harga 500 rupee dan mula mengadakan kelas sendiri. Sejak itu sekolahnya telah berkembang dan menawarkan kelas sehingga usia sembilan atau 10 tahun, dengan sekitar 100 kanak-kanak mendaftar sekarang.

Murmu juga menamakan sekolahnya sempena nama pengasas badan amal yang menyelamatkannya iaitu pemenang Anugerah Nobel, Kailash Satyarthi kerana sangat terhutang budi kepadanya.

“Dulu saya merasa takut bekerja di lombong mika, tetapi tidak ada pilihan. Kami terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang, tetapi saya memberitahu ibu bapa sekarang bahawa anak-anak perlu belajar.

“Meyakinkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka belajar adalah sesuatu yang mencabar, tetapi saya mencagarkan diri saya sebagai contoh,” kata Murmu.

Penganugerahan diterima Murmu membawa kegembiraan kepada penduduk kampungnya. Murmu juga berharap ia dapat membantu membangunkan kampungnya kerana sebelum ini permintaan untuk membangunkannya banyak diabaikan pegawai terlibat.

Di India, kanak-kanak seusia lima tahun terpaksa bekerja di lombong mika untuk membantu keluarga mereka yang hidup melarat walaupun undang-undang India melarang kanak-kanak di bawah usia 18 tahun bekerja di lombong dan industri berbahaya lain.

Gambar: Neeraj Murmu, pengasas sebuah sekolah di Jharkhand empat tahun lalu. (Sky News)

Tidak mahu kanak-kanak seusia lima tahun jadi pelombong mineral, pemuda ini tubuh sekolah ubah nasib mereka

| Semasa |