Tidak pernah merungut penat, isteri setia rawat suami terlantar tanpa sumber pendapatan

ZALINA AZMAN, 40, isteri kepada adik almarhum Acik Spin, Khalis atau nama sebenarnya Muhammad Khalis Md Shari, 33, tabah dan setia menjaga suami yang terlantar sakit dengat kudrat tidak sekuat mana sepanjang masa tanpa perasaan jemu. 

Tidak pernah sekalipun rungutan atau keluhan ‘penat’ keluar daripada mulut Zalina, malah beliau mengikut apa sahaja permintaan Khalis yang kini hanya mampu berbaring, mengiring dan meniarap sahaja memandangkan suaminya tidak lagi berdaya untuk duduk terlalu lama walaupun cuba melakukannya.

Apabila penyanyi kumpulan The Real Spin yang pernah popular dengan lagu Semakin Rindu pada 2017 itu cuba untuk duduk, beliau hanya mampu bertahan tidak sampai lima minit kerana tulang belakangnya akan mula rasa bisa seperti ‘ditarik-tarik’.  

Pertama kali Khalis dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada Februari lalu kerana menderita penyakit kencing manis dan tahap kesihatan Khalis kembali merosot sejak April lalu, kira-kira seminggu sebelum Ramadan akibat kandungan garam dalam badan terlalu rendah. 

Doktor memaklumkan Khalis menjadi lemah kerana kandungan garam dalam badan menurun akibat tiada selera makan termasuk kurang minum.  Tubuh Khalis terlalu kurus dan berwajah cengkung, berat badan badannya kini hanya 30 kilogram berbanding 43 sebelum sakit.

Anak-anak turut membantu meringankan beban Zalina dengan melakukan kerja rumah seperti memasak, mengemas dan menjaga bapa mereka secara bergilir-gilir.

Berat badan Khalis merosot mendadak disebabkan masalah kesihatan yang dihadapinya. Keluarga ini sekadar mengharapkan simpati keluarga dan rakan-rakan bagi meringankan beban yang ditanggung selepas Khalis jatuh sakit memandangkan Zalina tidak dapat bekerja kerana perlu memberi sepenuh perhatian menjaga suaminya yang memerlukan bantuan untuk bergerak.

Mereka turut bergantung kepada wang simpanan Khalis yang diperoleh daripada persembahan nyanyian ketika dia menjadi penyanyi dahulu. Perbelanjaan bulanan mencecah hampir RM1,000 termasuk bil elektrik dan air, manakala keperluan dapur pula tidak menentu. 

Pasangan suami isteri ini juga memikul tanggungjawab membesarkan dua anak kandung, tiga anak tiri dan dua anak saudara berusia antara sembilan hingga 20 tahun.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 38 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Zalina perlu memeluk untuk menampung berat badan suaminya ketika duduk memandangkan Khalis tidak berdaya duduk terlalu lama dan kini hanya mampu berbaring, mengiring dan meniarap.

Tidak pernah merungut penat, isteri setia rawat suami terlantar tanpa sumber pendapatan

| Advertorial, Semasa |