Tidak sempat ke hospital, bayi lahir dalam perahu pada musim banjir dinamakan Siti Noor Banjiriah

ANDA ada kenal sesiapa yang namanya diberi sempena hari raya atau hari kebesaran tertentu, contohnya Nurfitriah sempena kelahiran pada hari raya Aidilfitri atau Mohd Ramadan yang lahir sebaik sahaja azan Subuh hari pertama puasa berkumandang?

Pada zaman dahulu, ibu bapa menamakan anak sempena peristiwa tertentu untuk memudahkan mereka mengingat bulan atau tahun kelahiran anak mereka. Ada juga yang memilih nama artis tertentu untuk menamakan anak mereka kerana minat melampau kepada artis pujaan.

Di Desa Lokbaintan, di mukin Sungai Tabuk, Banjar pula seorang bayi dinamakan Siti Noor Banjiriah sempena kelahiranyya ketika banjir melanda wilayah itu.

Menurut laporan portal Tribun News, Banjiriah dilahirkan Ernawati yang dibantu dua orang bidan ketika berada di atas bot sewaktu paras air naik dan menenggelamkan beberapa wilayah di Kalimantan Selatan itu.

Ernawati dikatakan berasa sakit untuk bersalin pada 20 Januari dan ketika bersiap untuk ke hospital, air tiba-tiba naik mendadak.

Berita tempatan juga melaporkan, salah seorang bidan itu yang bernama Arfat, berkata dia dan rakannya bergegas ke rumah Ernawati setelah menerima berita seorang penduduk kampung sedang sakit untuk melahirkan. Namun pada saat mereka tiba, mereka terus diminta naik ke dalam perahu untuk dipindahkan.

“Kami melihat bukaan yang jelas, dan ibunya sedia melahirkan,” ujar Arfat.

Siti Noor Banjiriah selamat dilahirkan dengan berat 3.3 kilogram dan panjang badan 50 sentimeter. Ibu dan bayi dilaporkan berada dalam keadaan sihat.

Gambar: Siti Noor Banjiriah dilahirkan ketika air sudah masuk ke dalam rumahnya. (BorakDaily)

Tidak sempat ke hospital, bayi lahir dalam perahu pada musim banjir dinamakan Siti Noor Banjiriah

| Semasa |