Tidak suka meminta-minta, wanita warga emas OKU penglihatan ini terkejut diberitahu doktor perlu minum susu khas

“MAKCIK seganlah nak pergi Baitulmal,” jawabnya kepada Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP apabila ditanya kenapa tidak memohon kepada Baitulmal.

Tidak semua insan suka mengadu atau meminta simpati orang lain atas kesusahan yang dialami; perit derita ditanggung sendiri selama masih mampu bersabar dengan ujian Ilahi.

Makcik Arilzoh, wanita warga emas serta OKU penglihatan ini tinggal sendirian dalam usianya 64 tahun. Rezekinya agak murah apabila menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta sumbangan daripada anak anak yang tidak melupakannya, lapor laman Facebook Baitulmal MAIWP Ahad lalu.

Namun begitu, beliau yang baru-baru ni membuat rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) terkejut apabila dimaklumkan oleh doktor bahawa beliau perlu meminum susu khas demi kesihatannya.

Susu khas yang perlu dibeli sendiri dan agak menggunakan kos agak tinggi ini menyebabkan beliau menghadapi kesulitan untuk perbelanjaan harian yang juga diperuntukkan untuk kos ubat-ubatan lain.

Kebuntuan Makcik Arilzoh mendapat perhatian Baitulmal yang memperuntukkan bantuan bulanan dan bantuan perubatan am (susu) untuk keperluan harian wanita tabah ini.

Makcik Arilzoh yang tinggal sendirian menerima kunjungan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP di rumahnya baru-baru ini. (Gambar: FB Baitulmal MAIWP)

Jarang kita dengar kes seumpama Makcik Arilzoh ini, kerana kebanyakan manusia lebih suka meminta-minta walaupun tidak berhak. Makcik Arilzoh bukan salah seorang dari manusia yang suka mengambil kesempatan atas keprihatinan orang lain.

Mungkin beliau menepati peribadi yang digambarkan dalam hadis ini; Dari Abu Hurairah r.a., katanya Rasulullah SAW bersabda: “Yang dinamakan orang miskin bukanlah orang yang berkeliling meminta-minta kepada orang ramai, lalu peminta-minta itu diberi orang sesuap dua suap, atau sebutir dua butir kurma.” Tanya para sahabat, “Kalau begitu, siapakah yang dinamakan miskin itu ya Rasulullah?” Jawab beliau, “Orang miskin sesungguhnya ialah orang yang tidak memiliki apa-apa untuk menutup keperluannya, namun keadaannya itu tidak diketahui orang supaya orang bersedekah kepadanya, dan tidak pula dia meminta-minta ke sana-sini.” (Hadis Sahih Muslim)

Semoga wanita berjiwa besar ini diberikan kesihatan yang berpanjangan dan dipermudahkan segala urusannya di dunia dan Akhirat.

Gambar: Makcik Arilzoh warga emas OKU penglihatan memerlukan susu khas untuk kesihatannya sebagaimana saranan doktor HUKM. (FB: Baitulmal MAIWP)

Tidak suka meminta-minta, wanita warga emas OKU penglihatan ini terkejut diberitahu doktor perlu minum susu khas

| Semasa, Tumpang Bahu |