Tidur dalam kesejukan bawah jambatan selepas pembedahan, warga emas hidup sebatang kara disisih anak selepas peluk Islam

KERANA perbezaan agama, warga emas ini hidup gelandangan selepas dipulau keluarga dan ‘dibuang’ anak-anak kerana memeluk Islam, sedangkan sebelumnya beliau pernah hidup kaya raya.

Beliau antara pelopor yang mempopularkan tauhu Jepun di negara ini pada awal 80-an selepas mengikuti kursus di negara Matahari Terbit itu. Namun, beliau nekad melepaskan semua kesenangan dunia apabila keputusannya memeluk Islam mendapat tentangan adik-beradik dan anak-anaknya.

Muhammad Johari Yeoh Abdullah, 68 tidak menyangka beliau antara insan terpilih menerima hidayah Allah SWT kerana sebelum ini amat anti dan mempunyai persepsi negatif terhadap Islam. Namun, ujian hebat tiba sebaik sahaja beliau memberi perkhabaran sudah bertukar agama kepada dua anaknya yang tinggal di Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

Walaupun berpelajaran tinggi dan bekerja sebagai jurutera, namun kedua-dua mereka yang mempunyai persepsi negatif terhadap Islam tidak bersetuju dengan tindakannya itu dan cuba memujuknya kembali kepada agama asal. Usaha mereka sia-sia kerana Muhammad Johari yang membahasakan dirinya Uncle Jo tetap dengan keputusannya. 

Anak sulungnya yang marah mengugut untuk menarik semula elaun bulanan dan turut memberi amaran supaya Uncle Jo menjauhkan diri daripada keluarga. Bagi mengelak keadaan menjadi semakin tegang, Uncle Jo ambil keputusan keluar dari rumah dan tidur di dalam kereta. 

Empat bulan selepas memeluk Islam Uncle Jo dapat hidup semula dengan isteri yang turut memeluk Islam, namun isterinya meninggal dunia pada tahun 2018. Uncle Jo pernah bertemu dengan anak bongsu tiga tahun lalu selepas lima tahun tidak berjumpa, namun itulah kali terakhir pertemuan mereka, dan sehingga kini tidak mendengar sebarang khabar berita daripada mereka.

Uncle Jo menunjukkan lokasi tempat tidurnya di bawah jambatan LRT berhampiran Sunway Putra Mall.

Uncle Jo banyak bermusafir selepas isterinya meninggal dunia dan pernah datang ke Kuala Lumpur tahun lalu kerana perlu menjalani rawatan angiogram di Institut Jantung Negara (IJN) memandangkan beliau menghidap sakit jantung.

Namun dengan berbekalkan RM30 dalam poket sebaik keluar hospital, beliau terpaksa tidur di bawah jambatan lantaran tiada tempat tujuan. Cuba mendapatkan tempat bermalam di sebuah pusat transit gelandangan, beliau tidak diterima kerana had umur maksimum di situ adalah 60 tahun. 

Tiada pilihan dan tidak mampu menyewa bilik, dengan keadaan lemah selepas pembedahan, Uncle Jo terpaksa tidur di bawah jambatan LRT berhampiran Sunway Putra Mall. Terpaksa tidur dalam cuaca sejuk dan hanya beralaskan kotak, kesihatan Uncle Jo semakin lemah.  Namun beliau bersyukur kerana mendapat bantuan sara hidup daripada Baitulmal tiga hari selepas kejadian itu dan dapat menyewa sebuah bilik. 

Syawal yang disambut seorang diri baru-baru ini membuatkan Uncle Jo sebak kerana teringat kepada anak-anak dan ahli keluarganya.  Beliau tidak membuat sebarang persiapan, hanya menunaikan solat hari raya di surau World Trade Centre Kuala Lumpur dan menghabiskan masa di bilik sewanya berhampiran Sunway Putra Mall. 

Mi segera dan kuih baulu menjadi hidangan hari raya Uncle Jo memandangkan beliau tidak boleh keluar rumah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 39 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Uncle Jo terpaksa tidur di bawah jambatan LRT berhampiran Sunway Putra Mall dalam keadaan selepas menjalani pembedahan di IJN berikutan tidak diterima untuk bermalam di sebuah pusat transit gelandangan memandangkan had umur maksimum di situ adalah 60 tahun.

Tidur dalam kesejukan bawah jambatan selepas pembedahan, warga emas hidup sebatang kara disisih anak selepas peluk Islam

| Advertorial, Semasa |