Tiga beradik setia tunggu ibu pergi tak kembali, tunggu di pintu sambil menangis

TIGA beradik ini masih kecil dan tidak mengerti apa-apa, namun dalam usia yang masih mentah, mereka sudah berdepan ujian berat apabila hilang kasih ibu sekelip mata apabila wanita yang melahirkan mereka menghembuskan nafas terakhir selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja pada Januari lalu.

Walaupun sudah empat bulan tragedi berkenaan berlaku, namun ketiga-tiga kanak-kanak ini masih belum memahami kejadian malang yang menimpa, membuatkan mereka kini hilang tempat bergantung. Setiap hari sebaik bangun tidur, mereka menunggu di pintu sambil menangis dan sentiasa bertanyakan bila ibu mereka, Nurul Chasanah Ahmad Sobirin, 35,  akan pulang.

Lebih menyayat hati, Mohammad Aryan Hafizuddin, 5, Mohammad Harraz Naufal, 4, dan Raisya Maryam, 1, turut hilang kasih sayang apabila bapa mereka yang dikenali sebagai Abdullah, 30, menghilang diri selepas pulang ke Indonesia pada pertengahan 2019 ketika Nurul Chasanah sedang hamil anak bongsunya.

Ahli keluarga menuntut jenazah Nurul Chasanah di bilik mayat Hospital Klang.

Kini ketiga-tiga kanak-kanak ini menumpang kasih nenek, Husnul Fatimah Mustofa, 64 dan bapa saudara, Khorrudin Taqwalloh, 44,  bersama enam lagi adiknya yang mengambil-alih tanggungjawab memelihara kanak-kanak berkenaan.

Khorrudin bersama dua lagi adiknya akan memelihara ketiga-tiga mereka secara berasingan. Keputusan itu diambil selepas mengambil kira masa depan kanak-kanak terbabit selain memikirkan ibu mereka sudah semakin tua.

Walaupun ketiga-tiga beradik ini senang dijaga dan tidak banyak kerenah, namun ibunya sudah tidak begitu kuat untuk menjaga mereka. Selain  itu, beliau turut memikirkan perbelanjaan tinggi yang akan ditanggung apabila mereka bersekolah kelak.

Penjagaan tiga beradik ini menelan belanja sekitar RM700 sebulan memandangkan ketiga-ketiga mereka masih memakai lampin pakai buang dan minum susu.

Gambar: Husnul Fatimah akan menunjukkan gambar Nurul Chasanah setiap kali Mohammad Aryan Hafizuddin (dua dari kiri), Mohammad Harraz Nuafal dan Raisya Maryam bertanyakan ibu mereka.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 33 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Tiga beradik setia tunggu ibu pergi tak kembali, tunggu di pintu sambil menangis

| Advertorial, Semasa |