Tiga sahabat hajat tunai haji sewaktu bujang luntur semangat kerana kerenah kekasih

APA anda akan lakukan sekiranya orang yang anda sangat sayangi tidak sehaluan hala tuju hidup dengan anda? Apatah lagi ia melibatkan hubungan anda sebagai hamba kepada Allah. Antara cinta kepada Pencipta dan cinta kepada manusia.

Dilema ini berlaku kepada tiga sahabat yang bekerja sebagai tauke peniaga pasar yang bercita-cita ingin menunaikan haji. Hidup mereka sentiasa mekar dengan gurau canda, menghiburkan hati ahli keluarga apatah lagi kekasih-kekasih mereka.

Adi, Ucup dan Yus punya perwatakan tersendiri, begitu juga pasangan kekasih masing-masing. Kekasih Ucup seorang yang materialistik, manakala kekasih Adi pula seorang yang egoistik. Yus pula bercinta dengan wanita yang sangat sensitif.

Kekasih masing-masing sibuk meminta dilayan kehendak mereka untuk menyambut Aidiladha; tetapi Yus, Adi dan Ucop pula sibuk dengan urusan kursus-kursus haji.

Perselisihan pendapat dan keutamaan hidup yang berbeza ini sedikit sebanyak mengganggu pengabdian tiga lelaki ini. Tiga sahabat ini mula luntur semangat untuk pergi menunaikan haji.

Namun atas kesedaran hubungan vertikal itu lebih penting, tiga sahabat ini mengatur strategi agar niat mereka untuk menunaikan ibadah haji tertunai; pada masa sama kisah percintaan mereka juga kekal tanpa sebarang kata perpisahan. 

Yus, Adi dan Ucop mengambil langkah drastik dengan berkahwin secara segera dan sesudah berkahwin, maka ketiga kekasih mereka terbatas untuk membuat perangai.

Drama Bujang Haji dalam slot Qalbu ini akan disiarkan di TV AlHijrah bermula hari ini.

Berkat kebijaksanaan dan pergantungan mereka kepada Allah ketika berdepan masalah, akhirnya tiga sahabat ini dapat menunaikan ibadah haji, biarpun lari sedikit dari perancangan awal iaitu menunaikan haji sewaktu bujang.

Bujang atau berkahwin bukanlah syarat sah haji, yang penting mereka bertiga dapat mengejar cita-cita mereka, khususnya cita-cita mendapat redha Ilahi.

Kisah tiga sahabat ini boleh ditonton melalui drama ‘Bujang Haji” 13 siri di TV AlHijrah bermula hari ini, 8 Jun 2021 pada pukul 6.00 petang pada setiap Isnin dan Selasa.

Terbitan Hujan Lebat Sdn Bhd dan diarahkan Isqandar Jebat, drama yang dibintangi pelakon utama Chiwan Chilok sebagai Adi, Din Latah sebagai Ucup, dan Aliff Yasraf sebagai Yus memberi suntikan agama dalam karya berbentuk komedi kerana konsep stesyen yang mementingkan hiburan bermanfaat.

Pelakon otai seperti Jalil Hamid, Kartina Aziz, Fathil Dani, Rosnah Mat Aris, Hamdan Senario, Norlia Ghani, Sharifah Nur Anthasha, Mazlan Abdullah, Ramah Harun serta menampilkan pelakon Nasha Aziz ini dijangka mampu menarik penonton menghayati pengorbanan hamba mengabdikan diri kepada Allah, pada masa sama tidak mengenepikan urusan dunia.

Tiga sahabat hajat tunai haji sewaktu bujang luntur semangat kerana kerenah kekasih

| Advertorial, Semasa |