Tripping Jump Challenge yang mengundang maut

PELBAGAI permainan berbentuk hiburan popular bersilih ganti menjadi trend di media sosial, kebanyakannya adalah budaya buruk yang dibawa masuk dan menjadi ikutan remaja akibat jati diri yang semakin menipis.

Video-video yang dimuat naik ke media sosial membuktikan permainan berbentuk cabaran seperti Choking Challenge, Tide Pod Challenge, Blue Wave Challenge, Keke Challenge dan seumpamanya disambut meriah oleh netizen yang rata-ratanya dari kalangan remaja.

Seiring dengan tularnya permainan serupa itu, tular juga berita kematian akibat permainan tersebut. Momo Challenge sebagaimana laporan Buenos Aires Times didakwa mempunyai kaitan dengan kematian kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di Argentina yang dipercayai membunuh diri. Mangsa ditemui gantung diri di pohon halaman belakang rumah dan merakam aksi tersebut menggunakan telefon pintar.

Akhir tahun lepas pula, Tripping Jump Challenge menjadi sebab kematian seorang remaja perempuan berusia 16 tahun. Emanuela Medeiros cedera di bahagian kepala selepas jatuh terhentak di lantai di sekolahnya, Mossoro, Rio, Brazil.

Tripping Jump Challenge memerlukan tiga orang pemain, di mana pemain di tengah akan melompat manakala pemain di kiri dan kanan akan menendang kakinya sehingga terjatuh. Dalam permainan ini, kepala Emanuela terhentak kuat di lantai sehingga menyebabkan kematian.

Islam pada prinsipnya membenarkan umatnya untuk berhibur tetapi dalam batasan yang meraikan maslahat dan menjarakkan daripada mafsadah (kemudaratan). Sesuatu yang harus boleh sahaja menjadi haram jika ia membawa kemudaratan.

Selain itu terdapat kes di mana pemain mengalami kesakitan dan tidak sedarkan diri. Kebanyakan pakar perubatan pun memberi amaran bahawa permainan seperti itu adalah berbahaya dan boleh menyebabkan kecederaan di bahagian tulang belakang, retak tempurung kepala dan maut.

Islam pada prinsipnya membenarkan umatnya untuk berhibur tetapi dalam batasan yang meraikan maslahat dan menjarakkan daripada mafsadah (kemudaratan). Sesuatu yang harus boleh sahaja menjadi haram jika ia membawa kemudaratan.

Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya Halal dan Haram dalam Islam telah menyebut beberapa bentuk hiburan yang dibenarkan dan yang tidak dibenarkan dengan panjang lebar. Jika diteliti, permainan seperti di atas juga termasuk dalam perkara yang diharamkan kerana lebih bersifat membahayakan pelaku.

Ia berdasarkan nas “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Melibatkan diri dalam perkara yang merosak dan membahayakan diri termasuk dalam perkara yang ditegah agama. Diri itu termasuklah bahaya pada diri sendiri dan bahaya pada orang lain.

Ternyata, ketiga-tiga pemain dalam Tripping Jump Challenge meletakkan diri mereka dalam keadaan merbahaya. Pemain di tengah (mangsa) berisiko maut atau cedera manakala pemain di sisi (penendang) pula berisiko didakwa kerana melakukan kematian, tidak kira dengan atau tanpa niat.

Tripping Jump Challenge yang mengundang maut

| Agama, Semasa |