KEPELBAGAIAN ciptaan makhluk tidak hanya terhad kepada bentuk kejadian, malah juga pemikiran. Sekecil-kecil perbezaan di ibu jari masing-masing sehinggalah kepada fakulti pemikiran menunjukkan betapa agungnya ciptaan Allah yang mencipta manusia berbeza-beza.
Kehebatan perbezaan ciptaan itu jika disedari dan difahami sebaik mungkin dalam kerangka Islam akan memberi faedah kepada manusia untuk menjadi sebaik-baik ummah. Ini kerana Allah telah memberi peringatan bahawa perbezaan itu adalah untuk manusia mengenali antara satu-sama lain dan menyingkap hikmah di sebaliknya.
Ikhtilaf atau secara istilahnya dalam kajian hukum Islam bermaksud perbezaan dan perselisihan yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan seperti masalah fekah, siasah (politik), dakwah dan sebagainya didorong berbagai faktor yang melatari pihak terlibat.
Istilah ini walaupun mungkin tidak dikenali sebagai ikhtilaf pada masa dahulu, hakikatnya perbezaan pendapat telah berlaku sejak manusia diciptakan. Ruang ikhtilaf makin melebar apabila wafatnya Rasulullah SAW yang menjadi sumber rujuk hidup bagi Al-Quran; lantaran akhlak Baginda sinonim dengannya.
Menoleh sirah para nabi dan sejarah umat Islam, ikhtilaf juga berlaku dalam kalangan nabi dan malaikat. Menurut Dr. Yusuf Al-Qardhawi, Nabi Musa As pernah berikhtilaf dengan Nabi Harun As. hingga Nabi Musa menarik janggut Nabi Harun kerana terlalu marah dan kecewa dalam kisah Bani Israil menyembah anak lembu buatan Samiri.
Begitu pula ikhtilaf Malaikat Rahmat dan Malaikat Azab dalam memutuskan status kedudukan seorang pemuda yang sedang bertaubat tetapi meninggal dalam perjalanan menuju ke negeri yang baik; sama ada diputuskan berdasarkan amalan zahirnya, atau berdasarkan niatnya.
Berlakunya ikhtilaf dalam masalah-masalah pandangan agama adalah sangat wajar; malah sangat mustahil untuk seluruh umat Islam di dunia ini dipersatukan dalam satu pendapat sahaja.
Ikhtilaf yang dibenarkan dalam perkara furu’ (cabang) ini telah diingatkan oleh Rasulullah SAW di mana Baginda telah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT telah membuat ketentuan-ketentuan, maka janganlah kamu melanggarnya, telah mewajibkan sejumlah kewajiban, maka janganlah kamu abaikan, telah mengharamkan banyak hal, maka janganlah kamu melanggarnya, telah mendiamkan banyak masalah sebagai rahmat bagi kamu – bukan kerana lupa – maka janganlah kamu mencari (kesulitan) di dalamnya.” (HR. Imam Daruquthni)
Latar setempat, bangsa, budaya dan zaman banyak mempengaruhi ikhtilaf di mana tafsiran terhadap sumber hukum Islam dan pandangan terhadap suatu masalah dibuat. Hukum yang dikeluarkan dari latar-latar ini adalah untuk menyesuaikan kaedah pelaksanaan sesuatu hukum.
Namun sesuatu perbezaan yang didasari mencari kebenaran dan kebaikan akan melorongkan setiap ikhtilaf kepada percambahan ilmu dan pengetahuan. Sebarang perselisihan pendapat yang berpandukan Al-Quran dan Sunnah tidak akan mencetuskan perbalahan atau sikap memperlekehkan antara dua atau lebih pihak yang terlibat dalam sesuatu ikhtilaf.
Mengutamakan kesan positif ikhtilaf untuk memperkaya pemahaman umat Islam terhadap ajaran agama, memperkukuh keimanan dan memperdalam kefakihan dalam sesuatu ilmu mampu mengurangkan percakaran dan perselisihan yang didasari ketaksuban pada pihak tertentu.
Ini kerana perselisihan yang dimarakkan oleh ketaksuban akan menyebabkan berlakunya perpecahan umat, konflik yang berlanjutan dan merosak persatuan umat Islam.
Bagi mengurus pertembungan pendapat ini, pihak yang terlibat setelah merujuk kepada dua sumber utama, Al-Quran dan Hadis; perlulah juga merujuk dan berdiskusi menggunakan dalil dan kaedah yang terdapat dalam kitab-kitab muktabar.
Setiap pendapat perlulah melalui prosesnya; iaitu yang diputuskan berdasarkan kepada dalil dan kaedah yang telah diistinbath, lalu diijtihadkan, ditimbang-timbang kekuatan dalilnya, ditarjihkan kemudian diterapkan pada masalah-masalah yang serupa dengannya (qias) supaya tidak sewenang-wenangnya disalah gunakan untuk kepentingan peribadi atau kelompok tertentu.
Peranan media dalam membawa hala tuju ikhtilaf amatlah besar supaya tunas-tunas pertikaian dapat dihentikan mekarnya. Lontaran-lontaran provokasi dari sesetengah pihak khususnya media sosial yang sering menjadi alat kepada pihak tidak bertanggungjawab mengadu domba seharusnya tidak disiram minyak oleh media arus perdana.
Pada perkara beginilah seharusnya media perdana mengambil peluang meuar-uarkan kebaikan ikhtilaf yang boleh membawa kepada diskusi rahmah agar masyarakat dapat merujuk kepada sumber autentik dalam memahami pertelingkahan yang berkitar dalam media sosial.
Polemik masalah membaca basmalah pada surat al-Fatihah secara jahar (jelas), masalah bacaan Qunut semasa solat Subuh, amalan bacaan tahlil, talkin dan sebagainya seharusnya tidak berpanjangan sekiranya ilmu dan adab dalam berikhtilaf menjadi tunjang utama dalam setiap perbincangan. Tugas medialah untuk membawa persoalan ini kepada masyarakat.
Gambar hiasan: Sekumpulan lelaki sedang mendengar bacaan talkin di perkuburan.