TV AlHijrah ajak penonton berdoa secara berjemaah secara langsung hadapi Covid-19 melalui Gema Haflah Munajat esok

SEMAKIN ramai yang menyedari jalan penyelesaian sesuatu masalah ialah kembali kepada Allah dan memohon pertolongan-Nya berpandukan Al-Quran dan tadabbur ayat-ayat yang penuh syifa’ dan berkat untuk segala permasalahan umat.

Dalam menghadapi situasi Covid-19 ini khususnya, masyarakat mula menjadikan kehidupan beragama sebagai dahan berpaut, mengharapkan kasih sayang dan rahmat Allah untuk dihindari dari pandemik ini.

Maka tidak hairanlah rancangan Haflah yang disiarkan di TV AlHijrah pada Disember lalu selama lapan episod mendapat tempat di hati penonton yang juga mengharapkan rancangan ini diteruskan agar malam penonton dihiasi dengan pesta Al-Quran yang mendamaikan.

Justeru itu TV AlHijrah akan menyiarkan Gema Haflah Munajat yang menjadi kemuncak buat rancangan Haflah yang telah tamat siarannya pada 23 Januari lalu. Gema Haflah Munajat akan disiarkan pada Sabtu ini pada pukul 9 malam secara siaran langsung.

Menerusi Gema Haflah Munajat, hati para penonton akan disirami dan dibajai dengan pembacaan Al-Quran dengan penuh tertib dan menggunakan maqam seni taranum seperti Bayati, Nahawand, Rast, Jiharkah, Sikah dan Hijaz.

Ia juga menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebagai tetamu istimewa yang berperanan sebagai pentausiyah.

Beliau akan bersama barisan Qari kebangsaan seperti Ustaz Ahmad Tirmizi Ali, Ustaz Ahmad Tarmizi Abd Rahman, Dr. Anuar Hasin, Ustaz Wan Ainuddin Hilmi, Ustaz Wan Fakhrul Razi, Ustaz Abdul Khair Jalil, Ustaz Amirahman Abbas dan Ustaz Azraie Abdul Hak yang akan mengalunkan bacaan doa yang dipetik daripada surah-surah Al-Quran.

Penonton bolehlah mengikuti rancangan ini dan turut sama berdoa secara “berjemaah” secara langsung untuk memohon pertolongan Allah dalam menangani pandemik Covid-19.

TV AlHijrah berkeyakinan bahawa rancangan Gema Haflah Munajat mampu memberi nilai tambah di dalam kehidupan seharian penonton serta sesuai dijadikan bahan tontonan hujung minggu seisi keluarga.

TV AlHijrah ajak penonton berdoa secara berjemaah secara langsung hadapi Covid-19 melalui Gema Haflah Munajat esok

| Semasa |