TV AlHijrah hidang ilmu dan pengisian rohani sepanjang Ramadan sebagai bekal dan amalan andai ini Ramadan terakhir seorang hamba

DALAM era ledakan teknologi, ilmu kadangkala sedia terhidang kepada kita sehingga tiada alasan lagi untuk seseorang itu menafikan tidak berilmu kerana tiada peluang.

Boleh dikatakan kehidupan kini yang dilengkapi dengan kemudahan elektronik dan pelbagai gajet memungkinkan seseorang boleh menuntut ilmu di mana sahaja. Ilmu wajib dituntut untuk hamba mengenal Tuhannya.

Menyedari kepentingan menuntut ilmu, TV AlHijrah secara berterusan memaparkan di layar kaca mahupun di media sosial pelbagai rancangan untuk santapan minda dan rohani penonton.

Sempena Ramadan yang bakal menjelang dua tiga hari lagi, pelbagai program diatur mengisi ruang bulan berkat ini supaya masa yang dilalui seharian tidak sia-sia.

Menepati tema sambutan “Andai Ini Ramadan Terakhir” bulan mulia tahun ini, enam program keagamaan dipaparkan dengan harapan menambah ilmu sedia ada.

My#HadithTime yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 5.00 petang ini bermula 1 April lalu memberikan kefahaman dan mendidik ummah untuk menjadikan hadis sebagai sumber rujukan kedua selepas Al-Quran serta memahirkan penonton mengenal pasti jenis-jenis hadith supaya tidak tergolong dalam mereka yang tersilap memetik hadith palsu.

Program ini dikendalikan oleh Ustaz Mohamad Husaini sebagai Qari dan kupasan hadis oleh Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Ramadan ini juga dihiasi dengan rancangan Haflah, majlis bacaan Al-Quran dengan pelbagai seni tarannum yang disampaikan oleh barisan qari Malaysia bermula 1 April 2021, setiap Khamis dan Jumaat, 10.00 malam.

Ihya Ramadan, program tausiyah yang memberikan ilmu dan pencerahan tentang hukum-hakam berkaitan bulan Ramadan dan juga kelebihan amalan yang dianjurkan pada bulan mulia ini pula bakal bersiaran bermula 13 April 2021, setiap Isnin hingga Ahad, 7.00 petang.

Selain itu dokumentari Al-Farabi yang mengisahkan biografi seorang tokoh ilmuan Islam yang cukup terkenal dalam menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan bakal disiarkan bermula 15 April 2021, Khamis, 5.30 petang.

Rancangan Ittabiouni yang akan disiarkan bermula 12 April 2021, setiap Isnin hingga Rabu, 10.00 malam pula dirangka bertujuan menyebarkan sunnah Rasulullah SAW dan mendidik penonton untuk mengikuti contoh dan tingkah laku Rasulullah SAW.

Sebuah program tazkirah yang mengupas perihal kelebihan malam Lailatul Qadar pula disampaikan melalui rancangan Aura Al-Qadar bermula 28 April 2021, setiap hari, 10.30 malam. Ia juga memaparkan keperibadian dan amalan Rasulullah SAW, para sahabat serta salafussoleh pada malam Lailatul Qadar.

Rancangan keagamaan dan penuh ilmu sebegini amat bertepatan dengan tema yang dipilih kerana sebagai hamba, yang paling utama untuk dibawa ke dunia sana adalah bekal yang bakal menjadi teman dan hujah kita.

TV AlHijrah hidang ilmu dan pengisian rohani sepanjang Ramadan sebagai bekal dan amalan andai ini Ramadan terakhir seorang hamba

| Advertorial, Semasa |