TV AlHijrah tayang Filem Syukur 21 sempena sambutan ulangtahun ke-11 penubuhan, papar kesyumulan Islam sebenar, angkat wacana balas terhadap persepsi serong Barat

OLEH: KU SEMAN KU HUSSAIN (kusemankh@gmail.com)

KETIKA filem Syukur 21 diterbitkan 21 tahun lalu, belum wujud lagi isi kandungan yang berupa drama atau filem berkonsepkan Islam.  Syukur 21 menjadi filem pertama yang membuka laluan baharu terhadap karya yang berkonsep Islam dengan menitik beratkan aspek patuh syariah.

Tayangan Syukur 21 di TV AlHijrah pada 8 Ogos ini pukul 9 malam, menjelang sambutan ulangtahun ke-11 penubuhan pada 1 Muharam ini adalah suatu langkah yang tepat memandangkan kewujudan stesyen ini juga antara yang menepati “bayangan” dunia masa depan dalam filem ini.

Ia dipilih kerana menepati hala tuju stesyen televisyen utama negara ini untuk memberi gambaran kesyumulan Islam yang sebenar.

Syukur 21, sebuah wacana balas (counter discourse) terhadap persepsi serong Barat kepada Islam yang disekutukan  dengan kemunduran dan keganasan.  Ketika filem ini diterbitkan tahun 2000, Islamofobia sedang memuncak di Barat terutama AS. Asal sahaja Islam semuanya dianggap mundur dan ganas.

Filem ini tampil dengan wacana bertentangan dan menolak secara psikologi persepsi serong itu.  Raudah menjadi karakter penting filem ini di mana Islam itu selari dengan  teknologi dan kemajuan. Akhlak dan agama menjadi kompas yang menolak keganasan dalam apa bentuk sekalipun.

Islamofobia yang diledakkan itu berterusan dengan tragedi 11 September 2001, sebahagian projek untuk mengaitkan Islam dengan keganasan.  Setahun sebelum tragedi itu Syukur 21 telah menolak persepsi Barat terhadap Islam dengan membentangkan satu dunia bernama Raudah.

Kesyumulan Islam dalam setiap aspek kehidupan dipaparkan dalam filem Syukur 21.

Daripada sudut pengkaryaan, banyak yang beranggapan filem adalah satu bentuk karya seni yang terpisah dengan agama. Dalam realiti sosial masyarakat yang menekankan cara hidup Islam, anyak filem tempatan memberikan persepsi bertentangan –  memaparkan sisi  kehidupan sekular.

Syukur 21 yang dituls oleh Farihin Fatah bukanlah sebuah filem terbaik. Bagaimanapun filem ini membuka satu dimensi baharu dunia perfileman tempatan dengan keberanian menongkah arus menghasilkan filem patuh syariah.  Permulaan itu seharusnya menjadi ikutan dan melahirkan filem yang lebih baik.

Kalau ada kegagalan filem pertama terbitan Metrowealth ini, barangkali disebabkan faktor-faktor lain. Tetapi bukan kerana mengambil pendirian menghasilkan filem patuh syariah.

Ini sebuah filem yang meneroka genre furutistik.  Genre ini bukan baharu terutama di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah malah menjadi antara genre arus utama.  Dalam perfileman tempatan, Syukur 21 telah memulakannya dengan membayangkan era digital 21 tahun akan datang.

Sekarang kita telah berada dalam dunia yang dibayangkan dalam Syukur 21, dan yang yang dipaparkan bukan lagi satu masa hadapan, sebaliknya sudah menjadi realiti semasa.  Kehidupan era digital dalam masyarakat di Raudah dalam filem itu kini menjadi sebahagian kehidupan kita.

Filem ini bakal ditayangkan di TV AlHijrah bersempena sambutan ulangtahun ke-11 penubuhan stesten Islam utama negara ini.

Syukur 21 juga mirip fiksyen sains dengan pendekatan yang tersendiri –  bayangan masa depan yang berpandukan realiti semasa tahun 2000 di mana Internet menjadi sebahagian keperluan hidup.  Bayangan masa depan itu tidak sekadar khayalan tetapi  dengan fakta. 

Syukur 21 dilakonkan oleh ahli-ahli kumpulan Raihan, Mustahpa Kamal, Norzizi Zulkifli, Yank Kassim dan Yassin ahli kumpulan Brother.  Ketika filem ini diterbitkan Raihan muncul sebagai kumpulan paling popular.

Filem ini mengenai sebuah organisasi bernama Raudah yang lengkap dengan teknologi digital bawah pimpinan Raihan.  Raudah juga menjadi tempat pemulihan moral menjadikan mereka yang hidup bertuhankan kebendaan kepada kehidupan yang berakhlak dan tekal pegangan agamanya.

Kamal (Muatapha Kamal) yang sudah lebih 30 tahun menetap di AS, seorang yang hidup mewah dan kebendaan  ditugaskan ke Malaysia untuk  membangunkan teknologi  digital di Raudah.  Kamal yang selama ini menganggap Malaysia sebuah negara mundur terkejut dengan kemajuan yang dicapai.

Semasa di Raudah, Kamal bertemu semula dengan ibu dan anaknya yang menjadi sukarelawan di situ. Di Raudah, Kamal dibawa kembali ke pangkal agamanya yang telah lama ditinggalkan, ke pangkuan ibu yang lama kehilangannya  dan anak yang baru mula mengenal ayahnya.

Tayangan Syukur 21 di TV AlHijrah pada 8 Ogos ini pukul 9 malam ini adalah suatu langkah yang tepat pada masanya memandangkan kewujudan stesyen ini juga antara “bayangan” yang dimuatkan dalam filem ini.

Gambar: Salah satu adegan dalam filem Syukur 21 yang bakal ditayangkan pada 8 Ogos, pukul 9.00 malam nanti di TV AlHijrah.

* Ku Seman Ku Hussain adalah wartawan bebas dan mantan Pengarang Mingguan Malaysia.

TV AlHijrah tayang Filem Syukur 21 sempena sambutan ulangtahun ke-11 penubuhan, papar kesyumulan Islam sebenar, angkat wacana balas terhadap persepsi serong Barat

| Advertorial, Semasa |