Ujian kehilangan misteri 35 kerbau kesayangan, semoga rezeki Mowgli Malaysia sekeluarga melimpah ruah atas ketabahan dan redha terima ujian

MELIHAT milik kesayangan menemui ajal satu demi satu amat meremukkan hati sesiapa sahaja yang bersifat penyayang.

Kematian lebih 35 ekor kerbau peliharaan bapa Muhammad Syukor Khamis atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ secara berperingkat dan mengejut itu sejak Rabu lalu bukan sahaja menyiram duka kepada keluarga remaja berusia 15 tahun itu, tetapi juga mengakibatkan kerugian lebih RM200, 000.

Difahamkan 11 ekor daripada kerbau yang dipelihara di Kampung Banggol Katong, Serada, Kuala Terengganu itu mati bergelimpangan setelah seekor darinya mula mati pada Rabu.

“(Kami) sedar pada 9 September seekor (mati), kemudian dua, lepas itu tiga, empat (dan) yang ketaranya semalam (Ahad) 11 ekor dalam kandang (mati) bergelimpangan.

“Hari Jumaat (lalu) ada yang sudah mati dalam kandang tapi tak sebanyak macam semalam dengan hari ini,” katanya sebagaimana laporan Astro Awani.

Khamis berkata, beliau buntu dan tidak dapat memberi kepastian apakah punca sebenar kematian binatan ternakannya itu sama ada diracun atau terkena jangkitan kuman. Ini kerana kejadian sedemikian tidak pernah berlaku sebelum ini.

Kematian kerbau-kerbau kesayangan Syukor bukan sahaja meninggalkan kesan emosi yang mendalam terhadap keluarga ini tetapi juga kerugian harta benda.

Manakala bagi Syukor pula, kejadian itu merupakan kali pertama dialaminya sejak dia mula berjinak-jinak dengan binatang peliharaan bapanya sejak berusia enam tahun.

Kematian kerbau-kerbau ini mengembalikan ingatan kita kepada kematian 23 ekor lembu secara mengejut di Felda Aping Timur, Kota Tinggi Johor 11 Jun lalu.

Kematian misteri lembu-lembu tersebut yang menimbulkan andaian diracun pihak tertentu itu menyebabkan ramai pihak kesal kerana selain menyebabkan pembaziran, ia juga membuktikan jenayah terhadap haiwan semakin menjadi-jadi kini – seolah-olah haiwan kini menjadi ‘punching bag’ manusia pendendam.

Namun kita berharap semoga kematian kerbau Syukor bukanlah kerana sebab itu dan didoakan semoga Syukor sekeluarga tabah menghadapi ujian dan dikurniakan rezeki yang melimpah ruah serta digantikan dengan yang lebih baik atas keredhaan mereka.

Gambar: Dua daripada kerbau peliharaan bapa Muhammad Syukor Khamis yang mati secara mengejut. (DallahDeenPhotography)

Ujian kehilangan misteri 35 kerbau kesayangan, semoga rezeki Mowgli Malaysia sekeluarga melimpah ruah atas ketabahan dan redha terima ujian

| Semasa |