Hati saya pilu tatap keputusan UPSR anak

DALAM keriuhan ibu bapa lain meraikan kejayaan anak mereka pada hari ini, jauh di sudut hati saya terasa sebak, sedih, kesal dan bermacam-macam perasaan lagi mengganggu emosi. Saya sedar bukan saya sahaja yang mungkin rasa kecewa sebaik sahaja mendapat keputusan UPSR anak mereka, tetapi kesedihan saya lebih besar dari itu.

Anak saya salah seorang daripada murid yang menerima keputusannya hari ini. Bukan keputusannya yang jauh dari cemerlang itu yang mendukacitakan saya, tetapi kisah di sebalik perjuangan seorang anak menduduki peperiksaan dalam serba kekurangan, material dan emosi.

Waktu anak sulung lelaki saya, Ikhwan akan menduduki UPSR beberapa bulan sebelumnya, saya hilang pekerjaan, begitu juga isteri saya kerana kami bekerja satu majikan. Kami kehilangan sumber pendapatan, wang simpanan hanya cukup menampung bayaran sewa rumah beberapa bulan sahaja. Kami hidup serba kekurangan dari segi makanan dan perbelanjaan harian untuk sekolah Ikhwan dan adik-adiknya.

Ikhwan mungkin tidak cemerlang dalam keputusan peperiksaan hari ini, tetapi saya yakin dia akan membesar sebagai anak yang bertanggungjawab dan matang dalam mengharungi hidup. Saya sebagai bapa, akan terus berusaha dan berdoa semoga dimurahkan rezeki agar dapat membayar segala “hutang” kepada Ikhwan dan adik-adiknya.

Untuk terus hidup, kami suami isteri terpaksa berjualan kuih dan pelbagai barangan seperti pewangi kereta, minyak wangi dan barang mainan kanak-kanak. Ikhwan dan adik-adiknya kadangkala turut menjaja barang jualan tersebut bersama kami, atau duduk di rumah menjaga adik-adik sewaktu kami terpaksa pulang lewat untuk mencari rezeki lebih. Saya melarang kerana tahu Ikhwan berada pada waktu gentingnya menghadapi UPSR, tetapi Ikhwan bertegas mahu membantu.

Sewaktu murid-murid lain ke kelas tambahan, Ikhwan belajar di rumah sambil menjaga adik-adik. Banyak kali Ikhwan gagal menyiapkan kerja sekolah kerana diganggu adik-adiknya yang sangat banyak keletah. Saya sedar semua itu tetapi kami tidak mampu menghantar mereka kepada pengasuh kerana wang yang ada hanya cukup untuk tidak membuatkan kami kebulur. Ikhwan sering ke sekolah tanpa wang belanja.

Sekali-sekala saya dan isteri mengajar Ikhwan di rumah, tetapi belajar pada waktu masing-masing telah kepenatan pada siangnya, tidak banyak membantu Ikhwan. Ada masa saya atau isteri yang tertidur, dan kebanyakan masa Ikhwan yang terlentok di meja.

Jadi apabila melihat wajah Ikhwan sewaktu menerima keputusannya tadi, saya diserang rasa bersalah. Saya gagahkan diri untuk ucap tahniah pada Ikhwan dan menitip semangat supaya dia terus berusaha pada masa depan. Saya tahu Ikhwan anak yang rajin dan baik, dan saya tidak menyalahkannya sedikit pun atas keputusan hari ini.

Ikhwan mungkin tidak cemerlang dalam keputusan peperiksaan hari ini, tetapi saya yakin dia akan membesar sebagai anak yang bertanggungjawab dan matang dalam mengharungi hidup. Saya sebagai bapa, akan terus berusaha dan berdoa semoga dimurahkan rezeki agar dapat membayar segala “hutang” kepada Ikhwan dan adik-adiknya.

Hati saya pilu tatap keputusan UPSR anak

| Tumpang Bahu |