Urin ‘teropong pintu kesihatan’, beberapa situasi menandakan seseorang mengalami masalah kesihatan

PERUBAHAN urin dari segi warna, bau dan kecairannya menggambarkan tahap kesihatan, pemakanan dan lebih mustahak mengesan tanda penyakit dihadapi seseorang.

Melalui analisa urin, doktor dapat ‘meneropong pintu kesihatan’ seseorang. Ini kerana banyak bahan yang mengalir dalam darah, termasuk bakteria, kulat, protein yang berlebihan dan gula akan keluar melalui urin.

Jika kandungan toksik dalam urin terlalu banyak, ia akan menyebabkan perubahan pada fizikalnya; sama ada bau, warna dan kecairannya.

Urin normal biasanya berwarna kuning cair. Ia berubah menjadi kuning pekat apabila seseorang itu tidak minum air secukupnya. Ini bermakna semakin pekat urin, semakin teruk dehidrasi yang dialami.  

Ia menjadi cair apabila seseorang minum air secara berlebihan atau mengambil ubat ‘diuretic’ iaitu ubat yang memaksa urin keluar dengan banyak.

Perubahan kepada warna hijau atau biru pula disebabkan ubat tertentu. Vitamin akan menyebabkan warna urinmenjadi kuning pekat, lobak pula menyebabkannya berwarna oren, dan penyakit ‘porphyria’ menyebabkania berwarna ungu pekat.

Namun jika urin itu berwarna merah, berkemungkinan besar berlaku pendarahan dalam pundi kencing, akibat ketumbuhan; terutama pada saluran darah dalam pundi kencing itu. Ia juga menandakan terdapat jangkitan kuman dalam pundi kencing.

Urin berbau hancing sedikit akibat terdapat urea di dalamnya. Ia bergantung berapa banyak protein yang diambil dalam makanan. Begitu juga jika berlaku jangkitan kuman atau adanya batu pada pundi kencing.

Petai boleh mengubah bau urin kerana bahan sulfur yang terdapat di dalamnya. – Gambar: slviral.bbn.my

Bagi pesakit kencing manis pula, selalunya ia berbau agak manis, menyebabkan banyak semut menghurungnya.

Asparagus, petai, jering dan bawang putih boleh mengubah bau urin kerana bahan sulfur yang dikenali sebagai ‘methyl mercaptan’ yang terdapat dalamnya.

Namun ada setengah individu, urinnya tidak berbau walaupun makan makanan tersebut kerana mereka tidak mempunyai enzim yang dapat menghuraikan molekul ‘mercaptan’ ini.

Kehadiran buih dalam urin pula tidak semestinya menandakan seseorang itu mengalami masalah kesihatan. Ia berlaku dalam beberapa situasi seperti hamil, dehidrasi yang teruk dan pengambilan minuman dan makanan berprotein tinggi.

Namun adakalanya juga ia menunjukkan seseorang individu itu mempunyai banyak kandungan protein dalam urin akibat mula mengalami masalah buah pinggang.  Ini kerana proses penapisan tidak dapat dilakukan dengan sempurna, menyebabkan protein dari darah dapat melepasi penapisan dan masukkan ke dalam urin.

Oleh itu buih dalam urin adalah sesuatu yang agak agak serius jika individu itu tidak berada dalam tiga situasi yang disebutkan.

Oleh itu buih dalam urin adalah sesuatu yang agak serius jika individu itu tidak berada dalam tiga situasi yang disebutkan. Ia mungkin menandakan beberapa penyakit lain seperti jangkitan pada pundi kencing atau selalu disebut kencing kotor. Ini kerana kuman yang berada ke dalam pundi dan saluran kencing melepaskan gas yang menyebabkan buih.

Selain itu, kencing berbuih disebabkan oleh pembentukan ‘vesicocolic fistula’, sambungan laluan yang menghubungkan antara pundi kencing dan usus besar. Apabila tidak normal, ia menyebabkan najis dan udara dari usus besar boleh masuk ke dalam pundi kencing, menghasilkan kencing berbuih.

Mereka yang sentiasa mengalami kencing berbuih dinasihatkan melakukan pemeriksaan lebih lanjut kerana besar kemungkinan beliau mula mengalami masalah kerosakan buah pinggang (ginjal).

Gambar hiasan (athirahhassin.com)

*Dr Zubaidi Haji Ahmad adalah pengamal perubatan am.

PENAFIAN: Hbit.my tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui rencana ini. Ia adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab penulis.

Urin ‘teropong pintu kesihatan’, beberapa situasi menandakan seseorang mengalami masalah kesihatan

| Kesihatan, Kolumnis, Semasa |