Usia baru belasan tahun, sudah jadi kaki samun

DALAM usia belasan tahun, mereka sudah terlibat dengan jenayah samun. Menubuhkan Geng Caltex, empat remaja lelaki berusia 17 tahun yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini ditahan selepas dipercayai terlibat dalam kes pecah masuk stesen minyak di daerah Kerian, Bagai Serai sejak awal bulan ini.

Keempat-empat suspek termasuk seorang lagi pelajar sekolah berusia 14 tahun ditahan berasingan Selasa lalu, kata Ketua Polis Kerian, Superitendan Omar Bakhtiar Yaacob, sebagaimana laporan Sinar Harian hari ini.

Kesemua mereka terlibat dalam kegiatan pecah masuk di tiga stesen minyak di Kuala Kurau, Sungai Rawa dan Alor Pongsu melibatkan kerugian wang tunai, unit dekoder CCTV dan barangan jualan di stesen terbabit.

Semua suspek berjaya dikenalpasti hasil siasatan termasuk melalui rakaman CCTV sebelum tangkapan dibuat di kediaman masing-masing. Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui beberapa barangan kes disorok di kediaman mereka. Mereka semua kini direman selama lima hari sehingga 25 November bagi membantu siasatan di bawah seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Keterangan gambar: Rakaman CCTV yang membawa kepada penahanan empat suspek Geng Caltex. (Foto: Sinar Harian)

Usia baru belasan tahun, sudah jadi kaki samun

| Semasa |