Wak Jeng raih populariti semasa Covid-19, bukan semua masalah berakhir derita

PENGUMUMAN Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kelihatannya memberi sedikit sinar kepada warga Malaysia. Pelbagai sektor industri telah dibenarkan beroperasi sepenuhnya dengan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Sinar ini turut dinikmati penghibur jalanan, Shafiq Selamat, 26 setelah melalui detik perit dalam kehidupan ekoran pandemik Covid-19. Penularan wabak ini merupakan satu ujian berat terhadap kehidupannya.

Pemuda berambut keriting yang lebih dikenali sebagai Wak Jeng ini menerima ujian ini dengan reda malah menganggapnya asbab kepada perubahan hidupnya. Wak Jeng percaya ada rahmat di sebalik ujian itu.

Hanya menjadikan pekerjaan kampung sebagai sumber utama rezeki, kini Wak Jeng mampu memperoleh pendapatan tambahan melalui aktiviti ‘busking’ secara dalam talian apabila negara berdepan ancaman wabak ini.

Jika sebelumnya beliau bermula sebagai penghibur jalanan di sekitar Muar, Batu Pahat dan RNR Pagoh, Wak Jeng kini lebih popular dan mula dikenali oleh warga net serta rakyat Malaysia apabila sering muncul di laman Facebook dan YouTube; melakukan persembahan secara ‘live’ berbentuk lagu irama 60-an, lagu rakyat serta lagu ketuhanan.

Setelah terpaksa menghentikan seketika aktiviti tersebut akibat daripada penularan pandemik covid-19, Wak Jeng mengambil inisiatif dengan ‘beraksi’ secara dalam talian dan mampu memperoleh sejumlah wang hasil sumbangan orang ramai.

Bukan itu sahaja, beliau juga sudah mampu menjana wang tambahan melalui video-video di dua media sosial ini melalui ‘subscribers dan viewers’ yang mengikutinya.

Shafiq Selamat (Wak jeng)

Uniknya kumpulan buskers Wak Jeng yang dinamakan sebagai Akustika Ria ini ialah ahli-ahlinya terdiri daripada keluarga sendiri – daripada ibu sehinggalah isteri dan adik-beradik dan ipar-duai.

Asnah Ali yang merupakan ibu Wak Jeng mengendalikan tamburin, manakala isterinya Nurul Fatihah Nawi pemain shaker. Abangnya pula, Sahri Selamat sebagai bassist dan Fauzi Haron, adik iparnya bermain gitar. Dua orang sepupunya, Nurliyana Faudzi dan Fariz Jofri ditugaskan sebagai penyanyi dan pemain dram.

Selain itu, keunikan kumpulan ini menggunakan ‘trademark’ berkain pelikat semasa membuat persembahan secara langsung juga berjaya menarik minat warga net kepada mereka.

Selain itu Wak Jeng juga berbakat dalam menghasilkan lagu dan beliau mempunyai tiga buah lagu berunsur ketuhanan yang telah dimuatnaik ke YouTube mereka.

Antara lagu tersebut berjudul Ku Bermohon yang mengisahkan situasi wabak Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Wak Jeng bersyukur atas penerimaan positif rakyat Malaysia terhadap mereka sehingga mengundang mereka membuat pelbagai persembahan sejurus tamatnya tempoh PKP.

Beliau juga menganggap kejayaan yang dikecapi saat ini adalah berkat sokongan,doa serta usaha yang tidak mengenal erti jemu.

Kebanyakan sumbangan yang mereka perolehi selama ini juga diserahkan kepada persatuan ibu tunggal, warga emas, golongan gelandangan dan juga rumah anak yatim.

“Di samping kita bergembira jangan sesekali melupakan orang yang lebih memerlukan. Rezeki milik Allah SWT”, ujar Wak Jeng.

Kisah Wak Jeng mengingatkan kepada kita supaya sentiasa positif dalam menghadapi masalah kerana kadangkala di luar pengetahuan kita, masalah itu sebenarnya hanyalah sebab kepada nikmat yang ingin dianugerahkan kepada kita oleh-Nya.

Gambar: Kumpulan Akustika Ria yang diketuai Wak Jeng dan dianggotai ahli keluarganya.

Wak Jeng raih populariti semasa Covid-19, bukan semua masalah berakhir derita

| Semasa |