Wanita dapat hidayah peluk Islam sebelum di’intubate’, tiga jururawat bantu ajar ucap kalimah tauhid

HIDAYAH mengetuk pintu hati tanpa kenal waktu dan syarat. Wanita berbangsa Cina yang sedang menerima rawatan akibat dijangkiti Covid-19 ini menyatakan hasratnya mahu memeluk agama Islam secara rela sebelum beliau ditidurkan di sebuah hospital di Sabah baru-baru ini.

Video yang dimuat naik oleh Ustaz Mohd Taufik Tee Abdullah ke laman Facebook beliau semalam memaparkan tiga jururawat berada di samping wanita itu dengan seorang daripada mereka mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah sambal memegang kertas tercatat kalimah tersebut.

“Sebelum ditidurkan aunty (mak cik) ini minta disyahadahkan dua kalimah,” tulis Ustaz Mohd Taufik dalam kapsyen.

Wanita itu kelihatan mengikut lafaz kalimah syahadah yang diajarkan jururawat itu dengan agak lancar tanpa menghadapi masalah.

Wanita itu kelihatan mengikut lafaz kalimah syahadah yang diajarkan jururawat itu dengan agak lancar tanpa menghadapi masalah.

Wanita itu dikatakan semakin beransur sihat dan tidak ditidurkan, lapor Ustaz Firdaus Wong Wai Hung dalam laman Facebooknya semalam.

“Seorang daripada anaknya juga telah lebih awal memeluk Islam. Kejadian ini dikatakan berlaku di Hospital Duchess of Kent, Sandakan di Sabah.

“Tiada paksaan dalam memeluk Islam dan dilakukan dengan kerelaan dirinya. Jangan ada sesiapa yang cuba mempolemikkan isu ini khususnya para Islamophobic dan liberal. Jangan nak mempolemikkan dengan cuba menuduh kerja jururawat atau doktor bukan mengIslamkan tetapi merawat,” tulis Firdaus.

Kebanyakan komen warga net mengucapkan syukur atas pengislaman wanita itu dan mendokan kesembuhan beliau.

Gambar: Wanita warga emas sedang diajar mengucap kalimah syahadah oleh jururawat sebagaimana diminta wanita tersebut secara sukarela sebelum ditidurkan. (Petikan video FB Mohd Taufik Tee Abdullah)

Wanita dapat hidayah peluk Islam sebelum di’intubate’, tiga jururawat bantu ajar ucap kalimah tauhid

| Semasa |