Wanita deritai tiga penyakit tidak pernah mengeluh jaga suami terlantar dan anak-anak kurang upaya

DIRI sendiri menghidap penyakit tiroid, darah rendah dan sakit tulang belakang, tetapi tetap menggagahkan diri menjaga suami yang sakit terlantar dengan tiga anak kurang upaya (OKU) dan menghidap talasemia.

Bagi wanita berusia 60 tahun, tanggungjawab sebegini bukanlah ujian mudah dalam hidup, tapi itulah yang dilalui Haminah Hussin, wanita tabah dari dari Machang, Kelantan ini sejak tiga tahun lalu.

Bukan setakat menjaga makan pakai suaminya, Mamat Isa Jusoh, 64, yang diserang angin ahmar dan Parkinson, Haminah melalui rutin harian mengangkat, memandikan serta menyuap makanan dan minuman suaminya serta menjaga anak-anaknya.

Namun wanita ini tidak pernah mengeluh, cuma mengakui keterbatasan kudratnya yang tidak dapat melaksanakan semua tugas kerana banyak masa ditumpukan kepada suaminya.

Bukan setakat menjaga makan pakai suaminya, Mamat Isa Jusoh, 64, yang diserang angin ahmar dan Parkinson, Haminah melalui rutin harian mengangkat, memandikan serta menyuap makanan dan minuman suaminya serta menjaga anak-anaknya.

Selain menjaga suami serta tiga anak OKU, dia turut menjaga dua cucu di rumah mereka yang terletak di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kampung tersebut, lapor Bernama, Isnin lalu.

Mereka hilang punca pendapatan selepas suaminya yang sebelum ini menanam sayur di tepi rumah terlantar sakit, manakala anak lain pula hanya bekerja kampung dengan pendapatan tidak menentu dan sekadar mampu menyara diri sendiri.

Tidak menafikan sumbangan sebanyak RM300 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada salah seorang anaknya dan bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) RM400 setiap bulan, Haminah memerlukan kira-kira RM500 untuk membeli keperluan suaminya termasuk ubat-ubatan serta lampin pakai buang.

Mujurlah tinggal di persekitaran insan yang prihatin dan tinggi budi, Haminah mendapat kerjasama dan perhatian penduduk setempat yang bergotong-royong membersihkan kawasan rumah yang dipenuhi sampah serta barang terpakai kerana Haminah tidak sempat dan berdaya mengemas rumah.

Sekurang-kurangnya keperitan hidup itu diringankan sedikit dengan budi baik serta sikap peduli mereka.

Gambar: Haminah sedang mengurus suaminya yang terlantar kerana angin ahmar dan Parkinson sejak tiga tahun lalu. – (Bernama)

Wanita deritai tiga penyakit tidak pernah mengeluh jaga suami terlantar dan anak-anak kurang upaya

| Semasa |