Wanita hamil buntu suami hilang punca pendapatan sepanjang PKP, adakala anak terpaksa minum susu pekat

KESUKARAN hidup dilalui berikutan hanya mengharapkan suami, Azmi Mohd Hassan, 54, yang bekerja sebagai pembacuh minuman di sebuah kedai makan bertambah perit apabila kedai makan itu terpaksa ditutup sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berikutan isteri majikannya jatuh sakit. 

Walaupun kehidupan sebelum ini tidak semewah mana, pendapatan suami sebanyak RM30 sehari memberi makna yang cukup  besar untuk Norfhaezah Ahmad, 34, dan anak-anaknya. Namun sejak tempat kerja suaminya tidak beroperasi, bekalan susu dan lampin anak-anak adakalanya terputus lantaran tiada langsung duit yang tersisa di poket. 

Norfhaezah yang mesra membahasakan dirinya Fiza berkata, beliau bagaimanapun bersyukur apabila suaminya sanggup melakukan apa sahaja pekerjaan demi membeli lampin pakai buang dan susu formula untuk dua anak yang masih kecil, selain memastikan dapur mereka berasap.

Fiza melayan kerenah anak-anak ketika kunjungan Suara Asnaf ke kediamannya di Kampung Tok Pinang Tambahan, Serendah baru-baru ini.

Ketika ini suaminya mengambil upah memotong rumput dengan meminjam mesin kepunyaan rakan untuk mencari rezeki. Mereka mengharapkan bantuan untuk memiliki mesin sendiri agar tidak perlu meminjam lagi dan lebih memudahkan suaminya mencari pelanggan.

Memandangkan pendapatan tidak menentu, adakalanya Fiza terpaksa memberikan anak-anak minum susu pekat manis kerana tiada wang membeli susu formula. Hanya itu yang mampu disediakan untuk membuatkan anak-anaknya tidur lena. Fiza yang menghidap darah tinggi dan implikasi makan ubat menyebabkan susu badannya kering dan terpaksa memberikan anak susu formula. 

Kehidupan keluarga ini semakin getir apabila Fiza yang hamil empat bulan anak ketujuh disyaki mengalami komplikasi jantung dan kencing manis berikutan penyakit darah tinggi yang dideritai ketika awal kehamilan.

Oleh kerana beliau sedang hamil, doktor bimbang kemungkinan Fiza diserang sawan dan perlu memeriksa tekanan darah setiap hari. Memandangkan sedang berdepan masalah kewangan, Fiza tidak membuat sebarang persiapan menyambut orang baharu yang dijangka lahir Disember depan dan hanya menggunakan sahaja pakaian anak-anaknya sebelum ini.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 42 atau  terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Keadaan ruang tamu Fiza yang dipenuhi longgokan pakaian yang baharu siap dicuci selepas rumahnya dinaiki air akibat hujan lebat.

Wanita hamil buntu suami hilang punca pendapatan sepanjang PKP, adakala anak terpaksa minum susu pekat

| Advertorial, Semasa |