Wanita hamil tampal nota pada beg sandang, harap pengguna jalan raya lain berhati-hati dan bersabar dengan keadaannya

MENUNGGANG motosikal di tengah bandar yang sibuk bukan sahaja memerlukan pemanduan yang berhati-hati tetapi juga kreatif dan defensif. Secermat mana pun kita memandu, sikap cuai dan tidak bertanggungjawab pemandu lain mungkin merisikokan diri kita untuk terlibat kemalangan.

Menyedari ancaman yang bukan sedikit bagi penunggang motosikal, wanita yang sedang hamil ini melakukan ikhtiar menjaga keselamatan dirinya dengan memaparkan nota bersaiz kertas A4 yang ditampal pada beg sandangnya.

Mesej yang tertulis “Maaf, mohon bersabar dan hati-hati… ini ibu hamil” memperingatkan pengguna jalan raya lain supaya berhati-hati dan berhemat semasa memandu, lebih-lebih lagi kepada wanita yang sedang hamil.

Paparan nota yang ditampal pada belakang beg untuk mengingatkan pengguna lain supaya berhati-hati dan berhemah dengan pemanduan mereka ekoran status dirinya.

Aksi wanita yang dirakam pengguna TikTok @Yuliana4467 ini mendapat banyak komen positif daripada warga net yang kebanyakannya memuji idea kreatif wanita ini.

Berdasarkan plat motosikal, rakaman tersebut mungkin dilakukan di sekitar pulau Jawa.

Ramai juga berkongsi pengalaman menjadi mangsa buli jalanan dan menyatakan tindakan wanita ini sangat bijak dan tidak perlu malu berbuat demikian untuk menjaga keselamatan diri sendiri.

Usaha wanita ini membuktikan dalam banyak keadaan dan masa, kita seharusnya melipat gandakan usaha menjaga diri sendiri kerana kita tidak dapat menjaga sikap dan perilaku orang lain terhadap kita. Selebihnya bertawakallah kepada Allah selepas segala usaha dilakukan.

Wanita hamil tampal nota pada beg sandang, harap pengguna jalan raya lain berhati-hati dan bersabar dengan keadaannya

| Semasa |