Wanita pasrah tunggu cahaya mata selama 15 tahun, anak dijemput Ilahi selepas berusia sebulan

OLEH: NOOR DIYANA MOHD RONI

SETIAP rumahtangga pasti ada onak duri yang perlu dilalui bersama-sama, menguji kesetiaan pasangan. Setelah bergelar isteri selama 15 tahun barulah Nita dikurniakan berita gembira – disahkan mengandung. Bahagia bukan kepalang, Nita bersyukur dengan kurniaan hebat dari Allah itu.

Suka duka silih berganti, kegembiraan yang dikecap cuma sementara. Pada 28 Februari lalu, Allah memanggil pulang Muhammad yang baru sahaja berusia satu bulan.

Muhammad mempunyai komplikasi jantung sejak dalam kandungan lagi. Walaupun doktor telah membayangan keadaannya itu kepada mereka, anak kecil ini cukup kuat dan mampu bertahan sehingga usianya sebulan.

Muhammad “dipinjamkan” sementara buat mereka berdua, manakala Nita pula diberi peluang untuk merasa menjadi seorang ibu yang selama ini dinanti-nantikan.

Mengenang kembali perjalanan panjang selama 15 tahun yang dipenuhi pelbagai tohmahan, cemuhan dan hinaan kerana gagal melahirkan seorang waris, Nita dan suami bersabar sehinggalah Allah SWT mendengar rintihan mereka suami isteri.

Muhammad “dipinjamkan” sementara buat mereka berdua, manakala Nita pula diberi peluang untuk merasa menjadi seorang ibu yang selama ini dinanti-nantikan.

Nita sentiasa bermonolog setiap kali terkenangkan Muhammad; “Duhai anakku Muhammad, tenanglah anak di sana bersama dengan Maha PenciptaMU, ibu dan ayah sentiasa mendoakan Muhammad”.

“Walaupun kehilangan anak syurga, saya pasti hikmahnya sangat besar, Insha Allah,” luah Nita. Kata-kata ini memberi kekuatan kepada sesiapa sahaja yang pernah diuji sedemikian rupa.

Pesanan Nita kepada semua wanita, usahlah putus harap dan teruskan berdoa kepada Allah SWT kerana Dia sebaik-baik perancang dalam kehidupan kita.

Bagi para suami pula, dalam keadaan seperti ini, apa yang diharapkan oleh seorang isteri ialah sebuah pelukan dan kata-kata semangat dari mereka.

*Gambar hiasan

Wanita pasrah tunggu cahaya mata selama 15 tahun, anak dijemput Ilahi selepas berusia sebulan

| Semasa, Tumpang Bahu |