Wanita tabahkan hati serah 50 kucing kepada pihak lebih mampu setelah dihalau keluar rumah sewa

PERISTIWA dihalau dari rumah sewa ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada wanita ini sahaja, malah 50 ekor peliharaannya terkena tempias.

Kesemua 50 ekor mereka terpaksa berpisah kasih dan hilang belaian kasih sayang dari tuannya apabila terpaksa diserahkan kepada pihak lain demi kelestarian hidup mereka seterusnya.

Nasib mereka agak baik kerana tidak perlu bergelandangan di jalanan apabila pihak pusat perlindungan kucing, Bustana Kucing Perlis mengambil mereka untuk ditempatkan di pusat itu, lapor MStar.

Walaupun sedih berpisah dengan mereka, sekurang-kurangnya wanita itu berasa lega apabila peliharaannya itu berada di tangan pihak yang lebih mampu untuk menjaga kebajikannya.

Seorang petugas di pusat itu, Zakaria Shafie berkata kini mereka ditempatkan bersama hampir 1,500 kucing lain yang dijaganya di situ.

Pusat penjagaan kucing, Bustana Kucing Perlis ini mengalu-alukan orang ramai yang mahu mengambil dan menjaga kucing-kucing yang tinggal di situ atau menyumbang makanan kepada mereka. (Gambar FB Bustana Kucing)

“Semalam masih dapat tidur di sekitar kawasan rumah tuan mereka, malam ni akan tidur bersama kucing-kucing yang ada di Bustana.

“Semalam masih dapat makan makanan yang dituang dan dihidang oleh tuan meraka, hari ini dan seterusnya akan makan secara berkongsi bersama kucing lain di Bustana.

“Semalam masih dapat merasa belaian dan usapan dari tuan asal mereka, hari ini dan seterusnya akan dapat belaian dari staf Bustana sahaja,” tulisnya di laman Facebook.

Menurut Zakaria lagi, wanita yang sudah kematian suami dan tiada anak itu merupakan salah seorang pencinta kucing yang sering membantu menyelamatkan kucing di kawasan Ipoh, Perak.

Beliau juga memaklumkan orang ramai yang ingin mengambil dan menjaga kucing-kucing itu boleh hadir ke Bustana Kucing Perlis yang terletak dalam kawasan Taman Ular dan Reptilia Sungai Batu Pahat, Perlis, malah mereka juga ada menyediakan perkhidmatan teksi untuk menghantar kucing ke kawasan yang jauh atau di luar Perlis.

Wanita tabahkan hati serah 50 kucing kepada pihak lebih mampu setelah dihalau keluar rumah sewa

| Semasa |