Wanita warga emas korban nyawa asalkan pesakit lebih muda boleh terus hidup

OLEH ROKIAH ISMAIL
(rokiah@tvalhijrah.com)

SEANDAINYA berdepan dengan keadaan di mana hanya seorang yang boleh diselamatkan antara dua orang pesakit, siapakah agaknya di antara mereka berdua yang akan memberi peluang untuk yang seorang lagi itu hidup?

Kebanyakan orang tentu akan merayu supaya dirinya diselamatkan, dengan apa cara sekalipun sekiranya berdepan ancaman kematian. Namun terbukti wanita warga emas ini tidak gentar untuk mati.

Suzanne Hoylaerts yang berusia 90 tahun memilih untuk memberikan peluang kehidupan kepada orang yang lebih muda daripadanya untuk terus hidup dengan sebuah pergorbanan besar.

Wanita berhati emas dari Binkom berhampiran Lubbeek, Belgium disarankan menggunakan alat untuk bantuan pernafasan kerana satu keperluan untuknya berdasarkan tahap penyakit Covid-19 yang sedang dialaminya.

Namun beliau menolak dengan alasan ia lebih baik disimpan untuk pesakit yang lebih memerlukan, yang lebih muda daripada usia beliau. Tambahan lagi, beliau sudah melalui kehidupan yang baik sebelum ini dan tidak gusar untuk meninggalkannya kini.

Suzanne telah meninggal dunia pada 22 Mac lalu, dua hari selepas beliau menolak untuk dipakaikan alat pernafasan sewaktu mendapat rawatan di hospital, lapor Fox News.

Menurut Judith anak wanita ini, ibunya mula sakit sejak lebih dua minggu lalu. Pada mulanya beliau hilang selera makan dan mengalami kesukaran untuk bernafas, walaupun tidak mengalami batuk ataupun demam.

Alat bantuan pernafasan sangat diperlukan untuk membantu para pesakit Covid-19 yang kritikal. Mesin ini membantu mengepam oksigen ini ke paru-paru pesakit yang mengalami kesukaran bernafas. (FOTO: MAIL ONLINE)

Laporan hospital pada awal Mac mendapati oksigen di dalam badannya rendah dan mengesahkan beliau positif Covid-19.

Judith sendiri tidak tahu bagaimana ibunya boleh terjangkit dengan virus itu kerana beliau sangat patuh terhadap perintah kawalan pergerakan di negaranya dan tinggal bersendirian sebelum dimasukkan ke hospital.

Walaupun faham apa yang diputuskan oleh ibunya, Judith tetap terkilan kerana tidak sempat mengucapkan selamat tinggal untuk Suzanne yang telah berpisah dengannya buat selama-lamanya.

Belgium setakat ini melaporkan lebih 700 kematian dan sekurang-kurangnya 12,775 kes positif Covid-19 menurut laporan Universiti Johns Hopkins.

Alat bantuan pernafasan yang kurang juga turut memberi kesan kepada angka kematian di seluruh dunia kerana pesakit yang mengalami kesukaran bernafas sangat memerlukan alat ini pada tahap kritikal.

Gambar: Suzanne Hoylaerts (Mail Online)

Wanita warga emas korban nyawa asalkan pesakit lebih muda boleh terus hidup

| Semasa |