Wanita warga emas ‘pulang’ ke rumah jagaan orang tua selepas 10 hari diisytihar meninggal dunia akibat Covid-19

PADA saat seluruh ahli keluarga dan suaminya pasrah atas pemergiannya ke dunia abadi akibat Covid-19, wanita berusia 85 tahun ini mengejutkan penghuni rumah jagaan orang emas di Xove, utara Sepanyol yang juga menjadi tempat tinggal suaminya, Ramon Blanco.

Menurut Reuters yang memetik laporan akhbar tempatan La Voz de Galicia, Rogelia Blanco dilaporkan oleh pihak hospital meninggal pada 13 Januari lalu dan selamat dikebumi sehari selepas itu.

Disebabkan protokol yang ditetapkan pemerintah, mereka semua tidak boleh menghadiri upacara pengebumian itu.

Yayasan San Rosendo yang menguruskan rumah jagaan itu tampil menjelaskan, kejadian “mati hidup semula” ini berpunca dari salah faham pada daftar nama pesakit.

Ia berlaku ketika Rogelia dan seorang lagi penghuni yang disahkan positif COVID-19 dipindahkan ke pusat rawatan lain pada akhir Disember lalu.

Mereka berdua tinggal sebilik sewaktu menerima rawatan, dan salah seorang daripadanya telah meninggal dunia. Namun, kesilapan proses pendaftaran sewaktu pemindahan itu yang menyebabkan pertukaran identiti, jelas wakil yayasan itu.

Yayasan itu memohon maaf dan kesal atas kesilapan tersebut, serta menyifatkan insiden itu suatu yang tidak pernah terjadi.

Pihak mahkamah juga telah dimaklumkan tentang perkara itu supaya pengisytiharan kematian Rogelia dapat diperbetulkan semula.

Rogelia Blanco dilaporkan oleh pihak hospital meninggal pada 13 Januari lalu dan selamat dikebumi sehari selepas itu. – Gambar hiasan

Wanita warga emas ‘pulang’ ke rumah jagaan orang tua selepas 10 hari diisytihar meninggal dunia akibat Covid-19

| Semasa |