Wanita warga emas terpaksa minta sedekah demi suami, anak OKU

REALITI kehidupan dengan kos sara hidup yang tinggi terutama di kawasan bandar, memaksa Siti Jaliah Mamat atau Mek Yah, 65, meminta sedekah bukan semata-mata mencari sesuap nasi untuk dirinya sahaja, tetapi juga untuk memastikan ada hidangan dapat disediakan untuk suami dan anaknya di rumah. 

Warga emas ini berjalan menyeret kaki dengan bantuan sebatang tongkat sambil meminta sedekah di tempat letak kereta di sebuah pasar raya besar di Selayang. Kehidupan mereka sekeluarga sukar kerana tiada langsung sumber pendapatan dan hanya bergantung kepada bantuan zakat berjumlah RM400 sebulan yang diperolehi suaminya, Husain Mat Diah, 83, dan anak lelakinya berusia 40 tahun yang menghidap penyakit mental dan disahkan sebagai orang kelainan upaya (OKU).  

Suaminya yang sudah lanjut usia juga tidak mampu bekerja kerana mengalami masalah tulang belakang bengkok (slipped disc) akibat terjatuh ketika bekerja sebagai tukang sapu di Pasar Borong Selayang, 20 tahun lalu. Keadaan kesihatan suaminya semakin serius dan tidak boleh duduk lebih dari lima minit kerana terlalu sakit.

Mek Yah juga tidak mampu bekerja kerana faktor usia selain menderita penyakit kencing manis kronik yang menyebabkan badan lemah dan matanya kabur selain menghidap gout di kedua-dua kaki serta tangannya. Manakala anaknya juga tidak bekerja kerana tiada majikan yang berani menggajikannya kerana penyakit mental yang dihadapi.

Kedaifan hidup mereka sekeluarga terserlah kerana rumah di pasangan tua ini hanya ada sebuah radio kecil yang menjadi penghibur mereka. Mereka juga tiada televisyen. Apa yang lebih menyedihkan, Mek Yah terpaksa mengerah tenaga tuanya mencuci pakaian dengan tangan kerana mereka tidak mampu membeli mesin basuh.

Mek Yah mengalami gout dan berjalan menyeret kaki menggunakan tongkat untuk mengurangkan kesakitannya.

Warga emas ini tidak pernah terfikir untuk memiliki mesin basuh dan televisyen, memandangkan terpaksa mengharapkan belas ihsan orang lain untuk makan. Namun, beliau bersyukur kerana bayaran sewa rumah sebanyak RM124 sebulan diuruskan pihak zakat. Bantuan zakat yang diterima disimpan bagi menaiki teksi kerana Mek Yah  perlu membawa suaminya menjalani pemeriksaan di hospital setiap bulan.

Biarpun terpaksa menyediakan RM30 untuk tambang pergi dan balik, mereka tiada pilihan kerana tiada kenderaan.  Mereka juga tidak mampu membeli pakaian baharu, malah sudah bertahun-tahun tidak pernah merasai pakaian baharu dan hanya mengharapkan sumbangan pakaian terpakai daripada jiran-jiran.

Masalah kewangan yang kritikal membuatkan Mek Yah terpaksa meminta sedekah bagi meneruskan kelangsungan hidup di kota raya yang serba mencabar. Namun, atas faktor kesihatan, warga emas ini hanya pergi dua atau tiga kali seminggu ke pasar raya terbabit meminta sedekah. Katanya dengan wang sumbangan orang ramai yang simpati dengan dirinya berjumlah antara RM20 sehingga RM50 itu digunakan untuk menampung perbelanjaan harian.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 40 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Husain mengalami masalah tulang belakang bengkok (slipped disc) akibat terjatuh ketika bekerja sebagai tukang sapu di Pasar Borong Selayang, 20 tahun lalu.

Wanita warga emas terpaksa minta sedekah demi suami, anak OKU

| Advertorial, Semasa |