Warga emas berhimpit dengan anak menantu dan lima cucu dalam rumah pangsa satu bilik, terjejas pendapatan ekoran beberapa cucu diberhentikan kerja

SETIAP kali status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan, pasti terdengar rungutan masyarakat khususnya golongan marhaen tentang nasib diri sepanjang tempoh “terkurung” yang ditetapkan.

Keadaan mereka yang tinggal dalam kediaman selesa umpama burung terkurung dalam sangkar emas; namun bagi golongan susah yang menghuni rumah pangsa yang sempit dan ramai ahli keluarga pula, keadaan mereka diibaratkan satu tin sardin yang dijemur di tengah panas.

Bayangkanlah keadaan sebegitu dalam keadaan cuaca semakin panas sekarang. Apatah lagi sekiranya kawasan tersebut termasuk dalam kawasan PKPD yang tidak memungkinkan ahli keluarga bebas keluar rumah.

Kehidupan seumpama ini sedang dialami seorang warga emas berusia 68 tahun yang tinggal bersama anak dan menantunya berserta lima orang cucu yang sudah remaja di dalam sebuah rumah pangsa satu bilik tersebut.

Namun keadaan jauh dari selesa ini tidak menghalang beliau untuk bersyukur kerana masih mempunyai tempat perlindungan dan anak yang tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaganya yang menghidap pelbagai penyakit.

Tinggal berhimpitan dalam rumah pangsa satu bilik dengan ahli keluarga seramai lapan orang sangat tidak selesa lebih-lebih lagi sekiranya kawasan itu dalam keadaan PKPD.

Malangnya, anak beliau tidak mempunyai pendapatan tetap kerana hanya bergantung pada komisen jualan kereta yang sedikit merudum sejak kebelakangan ini. Ditambah pula beberapa orang cucu yang tinggal bersama telah diberhentikan kerja akibat serangan Covid-19 menyumbang sedikit sebanyak kegelisahan dalam kehidupan mereka.

Keadaan beliau yang memerlukan rawatan di beberapa hospital dan klinik secara berkala dengan perbelanjaan tambahan dan kos yang tinggi juga turut menuntut kesabaran yang bukan sedikit daripadanya dalam menempuh hidup.

Nasib beliau sedikit cerah apabila aduan yang diterima melalui aplikasi Mobile Jejak Asnaf (MOJA) membolehkan Skuad Jejak Asnaf Baitulmal MAIWP menghulurkan bantuan kepada keluarga ini.

Berkat keredaan dan kesabaran keluarga yang sentiasa bersyukur ini, Allah menghantar pertolongan-Nya melalui kehadiran Skuad ini yang sentiasa mendoakan asnaf yang ditemui dimurahkan rezeki dan sentiasa dirahmati oleh Allah S.W.T dalam menghadapi hari mendatang.

Gambar: Skuad Jejak Asnaf ketika mengunjungi rumah warga emas yang tinggal bersama anak menantu dan cucu di sebuah rumah flat satu bilik.

Warga emas berhimpit dengan anak menantu dan lima cucu dalam rumah pangsa satu bilik, terjejas pendapatan ekoran beberapa cucu diberhentikan kerja

| Semasa, Tumpang Bahu |