Warga emas berkerusi roda maut rentung, sempat telefon anak dan menjerit minta tolong

SETIAP kali berita mengenai kemalangan melibatkan warga emas menyapa mata atau telinga, kita pasti terkenang ibu bapa sendiri. Bagi anak-anak yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa, panggilan telefon daripada mereka khususnya pada tengah malam pastinya sangat mencemaskan, apatah lagi jika ibu bapa berada dalam keadaan uzur.

Begitulah yang dialami oleh seorang anak, Zailah Jusoh, 47 yang baru sahaja kematian ibunya dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Losong Haji Su, Kuala Terengganu pagi semalam. Ibunya Fatimah Mohd, 79 meninggal, manakala bapanya Jusoh Muda, 83 cedera.

Sesiapa sahaja akan luluh hatinya apabila mengetahui mangsa sempat menelefon anaknya dan menjerit meminta tolong beberapa kali sebelum rentung dalam kebakaran. Tidak terbayang betapa ketakutan mangsa menghadapi maut yang sedang mengepung waktu itu.

Menurut laporan Bernama semalam, Zailah yang merupakan anak kelapan daripada 11 adik-beradik berkata panggilan daripada ibunya itu diterima sekitar 10.30 pagi dan ketika itu beliau menyangka ayahnya sedang mengalami masalah.

Apabila ditanya tentang keadaan ayahnya, ibunya tidak menjawab; menyebabkan Zailah bergegas ke rumah ibunya yang mengambil masa kira-kira 10 minit perjalanan. Ketika sampai, beliau melihat bomba sedang berusaha memadamkan api.

Pasukan bomba sedang memadamkan kebakaran rumah warga emas dalam kejadian kebakaran di Lorong Haji Su, Kuala Terengganu semalam. (Gambar: Bernama)

Zailah memaklumkan ibunya mengalami masalah sakit tulang belakang sejak sembilan tahun lalu dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, sehingga menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri.

Beliau menyatakan bahawa kali terakhir menemui ibunya ialah pada Sabtu lepas dan mangsa sering menghubunginya untuk membeli barang keperluan dapur.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Md Hilman Abd Rashid berkata mayat mangsa yang rentung ditemukan hanya selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan mangsa didapati berada di atas tanah, dipercayai telah terjatuh apabila rumah kayu tersebut runtuh ketika kebakaran.

Bagi anak-anak yang berpeluang tinggal berdekatan dengan ibu bapa, gunalah peluang emas itu untuk menjenguk mereka seberapa kerap yang boleh, atau setidak-tidaknya menelefon mereka setiap awal pagi dan malam.

Sekurang-kurangnya usaha ini dapat mengelakkan kejadian warga emas meninggal sendirian atau hanya dikesan setelah beberapa hari kematian sebagaimana yang selalu kita dengar, apatah lagi dalam situasi masing-masing terperap di rumah kerana PKP.

Gambar: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengusung jenazah Fatimah Mohd yang maut dalam kebakaran di Losong Haji Su semalam. (Bernama)

Warga emas berkerusi roda maut rentung, sempat telefon anak dan menjerit minta tolong

| Semasa |