Warga net cadang buat batu tanda peringatan di kubur ‘Sarjan’ Tho sebagai memperingati jasa baktinya kepada negara

OLEH ROKIAH ISMAIL

JASA yang baik akan dikenang jua. Kesedihan jelas menyelubungi warga IPK Pahang dengan pemergian ‘Sarjan’ Tho lebih seminggu lalu, lebih-lebih lagi kepada Sarjan Patrick Sandai yang merupakan penyelianya.

Berita dukacita yang dicoretkan dalam laman Facebook Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang itu mengundang perhatian warga net yang turut merasai kehilangan Tho yang banyak menabur bakti di seksyen K9 JSJ IPK Pahang itu.

Banyak komen meminta dibina batu tanda peringatan sebagai memperingati jasa Tho kepada negara.

Tho menghembus nafas terakhir pada 19 September lepas selepas menanggung kesakitan akibat sakit tua.

Pemergian Tho yang banyak berjasa mendapat perhatian warga net yang meminta supaya dibina batu peringatan di kuburnya sebagai memperingati jasanya selama ini. (Foto FB: JSJ Kontinjen Pahang)

Berusia 12 tahun 8 bulan dan dilahirkan pada 30 Januari 2008, Tho berkhidmat di seksyen K9 JSJ IPK Pahang pada 1 Jun 2018; yang mana sebelum ini berkhidmat di seksyen K9 JSJ IPK Johor.

Menurut laman Facebook itu lagi, Tho merupakan salah satu aset hidup PDRM yang juga memiliki pangkat sepadan dengan anggota mentornya yang merupakan “tuannya”.

Tho, anjing pengesan jenis Labrador itu banyak menyumbang khidmat bakti dalam siasatan melalui pengesanan bagi membantu kes narkotik di bawah seliaan Patrick di dalam elemen D6 JSJ.

Budi baik dibawa mati. Tidak kira ia seekor haiwan apatah lagi manusia, jasa yang ditinggalkan akan menjadi kenangan kepada yang menerimanya. Sebaiknya begitulah kehidupan kita.

Gambar: Tho disemadikan di seksyen lama berdekatan seksyen baru K9 JSJ IPK Pahang (FB: JSJ Kontinjen Pahang)

Warga net cadang buat batu tanda peringatan di kubur ‘Sarjan’ Tho sebagai memperingati jasa baktinya kepada negara

| Semasa |