Warga warga emas penglihatan kabur dan kurang pendengaran minta orang di sekelilingnya bercakap kuat kerana tidak mampu beli alat bantu pendengaran

MEMIKIRKAN keadaan kesihatan ibu, Siti Salmiah Md Saman, 70, yang semakin uzur disebabkan menderita masalah kegagalan buah pinggang yang dihadapi sejak tujuh tahun lalu, selain menghidap diabetes, darah tinggi dan penglihatan kabur sehingga tidak dapat melihat dengan sempurna membuatkan Mohd Firdaus Mohd Johari, 37 dan adiknya, Nur Suhaili, 28, bimbang meninggalkan wanita berusia lebih setengah abad itu tinggal keseorangan di rumah.

Nur Suhaili kini mengambil alih sepenuhnya tugas menguruskan rumah termasuk memasak, mengemas dan menjaga keperluan ibunya yang perlu sentiasa diperhatikan. Alasan menjaga ibu sakit bukan bermakna gadis manis ini tidak pernah berusaha mencari pekerjaan sebaik tamat pengajian, namun walaupun sudah berpuluh-puluh temuduga dihadiri sebelum ini, rezeki masih belum memihak kepada dirinya.

Keluarga ini juga berdepan cabaran apabila anak sulungnya, Mohd Firdaus yang sebelum ini bekerja sebagai jurufoto sebuah syarikat penerbitan majalah, diberhentikan kerja akibat kegawatan ekonomi beberapa tahun lalu.

Oleh kerana dua beradik ini tidak mempunyai pekerjaan tetap disebabkan sukar mendapatkan pekerjaan akibat pandemik Covid-19, mereka melakukan kerja sambilan dan berniaga secara ‘dropship’.

Siti Salmiah menunjukkan salur darah yang membesar kerana menjalani rawatan dialisis ketika dikunjungi Suara Asnaf di Kuala Kubu
Bharu, baru-baru ini.

Pendapatan yang diperolehi melalui kerja sambilan itu tidak seberapa, menyebabkan keluarga ini berdepan masalah kewangan berikutan hanya bergantung kepada pencen bulanan Siti Salmiah berjumlah RM1,040 untuk meneruskan kehidupan.

Memandangkan rawatan dialisis mahal, Siti Salmiah bersyukur apabila kos rawatan ditanggung sepenuhnya oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandangkan dia sebelum ini berkhidmat selama 25 tahun sebagai Penolong Dapur di Kementerian Belia dan Sukan, manakala insulin dan ubat-ubatan lain untuk penyakit diabetes dan darah tingginya pula diperoleh secara percuma di hospital kerajaan. Jika tidak, pasti ibu tua ini buntu memikirkan sumber kewangan untuk merawat penyakitnya. 

Selain masalah mata, wanita berasal dari Balik Pulau, Pulau Pinang ini turut mengalami masalah pendengaran sehinggakan doktor menyarankan agar dia menggunakan alat pendengaran. Namun, disebabkan harga alat yang mahal selain sukar untuk dijaga, membuatkan Siti Salmiah tidak membeli alat pendengaran terbabit.

Apa yang boleh dilakukan bagi mengatasi masalah itu, warga emas ini terpaksa meminta orang di sekelilingnya bercakap dengan kuat.

Untuk menderma sila layari https://ybim.org.my/suaraasnaf/ dan tekan Asnaf 47 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Mohd Firdaus membantu memasang tali pinggang keledar untuk ibunya sebelum memulakan perjalanan ke pusat rawatan dialisis di Batang Kali.

Warga warga emas penglihatan kabur dan kurang pendengaran minta orang di sekelilingnya bercakap kuat kerana tidak mampu beli alat bantu pendengaran

| Advertorial, Semasa |