Ya Rabb dedah impian murni dan susah payah Ebit Lew dalam perjuangan menyuburkan kemanusiaan

“KITA cuma nak bawa kasih sayang dalam dunia, cuba nak tolong orang tapi kita tak faham kenapa semua ini terjadi… kenapa orang nak kacau kita, kenapa orang nak dengki pada kita, kenapa orang salahkan kita,” luah Ebit Lew dalam keadaan teresak-esak.

Sedutan klip luahan Ebit Lew itu dimuatkan pada awal klip video lagu Ya Rabb, satu lagi karya oleh pencipta dan penyanyi Azhary yang sinonim dengan lagu kemanusiaan dan ketuhanan.

Lagu Ya Rabb ciptaan Azhary dan lirik oleh Syahril A Kadir tribute untuk Ebit Lew.

Lirik yang dikarang wartawan terkenal Syahril A. Kadir ini tribute kepada perjuangan insan hebat yang menjadi fenomena dan sohor kini di media sosial mutakhir ini.

Azhary dan Syahril bergabung menghasilkan lagu ini untuk mengangkat kisah hidup Ebit Lew yang penuh mehnah dan tribulasi sepanjang menjalankan dakwah dan misi kemanusiaannya yang tidak mengira sempadan agama dan bangsa.

Kesungguhan Ebit Lew banyak memberi inspirasi buat semua dan membuka mata bahawa kehidupan setiap insan ada hubungkait dengan tanggungjawab sesama mereka.

Usaha Ebit Lew membantu mereka yang memerlukan bukan sahaja menjadikan beliau insan pujaan ramai tetapi juga kritikan pihak tertentu. (Foto: Klip Video Ya Rabb)

“Ya Rabb tiada ertinya

Ku di sini hanya tertawa

Sedang mereka merana

Sapu air mata.”

Bait lirik ini tepat menggambarkan sifat penyayang dalam diri Ebit Lew di mana setiap mukmin itu dapat merasa denyut nadi dan jerih perih sesama manusia, dan berusaha membantu mereka yang perlukan pertolongan.

Sifat kasih sayang dan belas ihsan inilah yang mendorong Ebit Lew tidak senang duduk dalam keadaan senang lenang dan bahagia sedangkan pada masa sama manusia di luar sana ramai sedang menderita.

Azhary yang pernah menyertai kumpulan rock Data pada era 90-an dan telah mencipta lebih 20 lagu termasuk lagu tema untuk dokumentari di stesyen televisyen sebelum ini pernah bergabung dengan Syahril menghasilkan lagu Citra Manusia.

Ya Rabb dedah impian murni dan susah payah Ebit Lew dalam perjuangan menyuburkan kemanusiaan

| Advertorial, Semasa |