15 tahun hidup menderita kaki membesar akibat penyakit kaki gajah, pemuda pasrah kemungkinan tiada jodoh

IMPIAN anak muda ini untuk menjalani kehidupan normal seperti individu lain tidak pernah padam walaupun pergerakannya semakin terbatas ekoran penyakit kaki gajah yang dikesan sejak lahir. Beliau tabah menempuh kesengsaran hidup sejak 15 tahun lamanya walaupun kini kakinya membesar dengan anggaran berat 60 kilogram.

Walaupun penyakit yang turut dikenali sebagai lymphatic filariasis itu masih belum ada penawarnya, Mohd Safuan Ishak,32, tidak pernah berputus asa mendapatkan rawatan agar sembuh seperti sediakala dan dapat menjalani kehidupan seperti insan lain.

Doktor memaklumkan tiada rawatan khusus untuk membuang kandungan air pada kaki kiri dan saiznya akan semakin membesar. Akibat penyakit itu, tulang kaki Mohd Safuan rapuh dan lemah seperti tulang warga tua.

Ketika berusia 15 tahun, kaki pemuda ini mula membengkak kemerahan pada bahagian betis dan kemudian membesar seperti saiz sebiji bola ketika berusia 20-an.  Kaki kiri semakin membesar sejak lima tahun lalu dan kebelakangan ini, beliau semakin sukar untuk berjalan jika tidak menggunakan tongkat sebagai sokongan.

Keadaan itu juga memaksa Mohd Safuan berhenti kerja sebelum memulakan perniagaan burger bersama rakan untuk menampung hidup. Namun, sejak akhir-akhir ini keadaan semakin sukar apabila Mohd Safuan tidak boleh berdiri lama kerana akan mengalami sakit pinggang sehingga menyebabkan beliau sukar membantu rakan menyiapkan pesanan pelanggan.

Mohd Safuan perlu menggunakan tongkat untuk berjalan memandangkan beliau semakin sukar bergerak tanpa sokongan sejak kebelakangan ini.

Malah, kesihatan pemuda ini semakin merosot kerana kerap demam, diserang penyakit asma dan pening sehingga sukar tidur, menghidap darah tinggi dan tiroid. Mohd Safuan juga perlu mencuci luka di bahagian peha yang bernanah akibat besi yang dipasang susulan pernah patah kaki selain terpaksa bergantung dengan ubat-ubatan yang dibekalkan klinik kerajaan.

Keadaan fizikal yang terbatas juga menyebabkan beliau terpaksa mengharapkan bantuan keluarga serta rakan memandangkan tiga bulan sekali perlu mengambil bekalan ubat-ubatan selain menjalani pemeriksaan berkala untuk memantau keadaan kaki.

Beliau juga pernah bertanya sama ada kaki yang membesar itu boleh dipotong, namun tiada jaminan untuk beliau sembuh sepenuhnya memandangkan ada risiko berlaku komplikasi atau jangkitan kuman. Keadaan itu akan menyebabkan proses penyembuhan terganggu.

Penyakit kaki gajah bukan kanser dan tidak ada masalah jika kaki tidak dipotong, malah dia boleh meneruskan kehidupan seperti biasa walaupun tanpa ubat. Biarpun reda dengan dugaan Allah SWT, namun jauh di sudut hati pemuda ini terdetik juga perasaan sedih kerana beliau juga mempunyai impian untuk berkahwin dan memiliki anak. Namun sedar impian itu tidak mungkin menjadi kenyataan memandangkan keadaan dirinya ketika ini.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 72 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Kaki Mohd Safuan yang menderita penyakit kaki gajah semakin membesar dengan anggaran berat 60 kilogram sejak lima tahun lalu.

(167)

15 tahun hidup menderita kaki membesar akibat penyakit kaki gajah, pemuda pasrah kemungkinan tiada jodoh

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>