Akademi Qurra’ dekatkan Dr Adlee dengan Al-Quran, dalamkan minatnya dalam taranum sejak kecil

REAKSI Tilmiz Dr Adlee yang mengesat mata bagi menahan aliran air mata kesayuan ketika diumumkan tiada penyingkiran dalam Minggu Kedua Akademi Qurra’ 2024 boleh membuatkan penonton yang cepat tersentuh hati turut sama menangis.

Saat-saat penuh kesayuan bercampur kesyukuran itu berlaku spontan kerana pasti bagi Tilmiz Dr Adlee dan Tilmizah Ainsyafa menyangka mereka akan tersingkir pada minggu itu setelah diminta berada di depan dalam sesi pengumuman penyingkiran bagi peserta yang mendapat markah terendah.

Namun konsep rancangan yang menekankan kepada pembelajaran melebihi pertandingan itu menangguhkan penyingkiran pada minggu kedua bagi memberi peluang peserta bersilarurrahmi dan meneruskan penggalian ilmu dalam bidang taranum.

Kesayuan itu makin bertambah bagi Tilmiz Dr Adlee kerana beliau sedari awal seolah-olah dapat mengagak kedudukan beliau dalam rancangan itu apabila ditemuramah; namun ‘talian hayat’ yang diumumkan itu cukup menyentuh hati beliau.

“Bila berdebar atas pentas ni, memang akan lari habislah,” ujar beliau.

Berbekalkan misi hidup “Hidup tenang dan bahagia, janji Allah sayang”, Tilmiz Dr Adlee menyertai Akademi Qurra’ 2024 atas dorongan dari rakan-rakan Qari dan Qariah Kementerian Kesihatan Malaysia Johor dan memanfaatkan peluang semasa ujibakat Akademi Qurra’ di Iskandar Puteri yang diadakan ketika itu.

Dr Adlee, pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan adalah salah seorang peserta Akademi Qurra’ 2024.

“Masa tu memang cuti, rancang nak balik Kota Tinggi, alang-alang tu singgah ujibakat dulu,” jelas Dr Adlee.

Pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan ini berminat dengan taranum sejak kecil lagi dan mendapat asuhan ayahnya, Cikgu Suhaimi Yahya yang juga merupakan guru al-Quran pertama beliau dalam bidang itu.

“Ketika balik kampung di Jeli, Kelantan dulu-dulu, mak abah akan pasang kaset bacaan Ustaz Ismail Hashim dalam perjalanan, jadi kami adik beradik mula ikut dan tiru bacaan Almarhum. Dari situ mulanya timbul minat dengan taranum walaupun pada masa itu tak tahu pun nama taranum,” cerita Dr Adlee.

Minat beliau dalam bidang ini bertambah jitu apabila beberapa kali berpeluang menjadi wakil sekolah dan daerah Pokok Sena sewaktu di Sekolah Kebangsaan Telok Jamat, Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra dan wakil daerah Kubang Pasu ke peringkat negeri Kedah.

Namun aktiviti itu sedikit berkurangan apabila beliau mula belajar di university, sehinggalah aktif semula dalam tilawah pada tahun 2018 ketika mewakili daerah Kluang dalam tilawah peringkat negeri KKM Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Minat dalam taranum ini diteruskan sehingga kini dan memerlukan kebijaksanaan beliau untuk mengatur masa yang sesuai dan tenang untuk menyertai kelas bersama Mudarris Ammar.

Tilmiz dan tilmizah sedang menunggu pengumuman penyingkiran oleh pengacara Raqib Majid pada minggu kedua Akademi Qurra’ 2024.

“Selalu juga saya buka aplikasi Zoom untuk mendengar kelas, tapi jika ada kes-kes kecemasan, saya terpaksa meninggalkan kelas untuk merawat dan menyelamatkan pesakit,” jelas beliau.

“Sebagai seorang ayah dan suami, pengorbanan, dorongan dan semangat dari isteri amat saya hargai, juga dorongan dari mak abah dan keluarga menguatkan semangat untuk terus berjuang di Akademi Qurra’, anak-anak saya pun turut serta dalam kelas atas talian. Kalau di rumah, ambil kerusi duduk dekat sebelah,” cerita Dr Adlee.

Bukan sekadar bermanfaat untuk diri sendiri, Akademi Qurra’ banyak menyuntik kebaikan kepada orang di sekeliling beliau di mana para pesakit serta mereka yang mengenali beliau mula berminat dengan Al-Quran dan taranum apabila insan yang mereka kenali telah menjadi salah seorang peserta rancangan itu.

Matlamat utama rancangan ini untuk melahirkan insan yang akrab dengan Al-Quran sedikit sebanyak terbukti apabila menghayati kata-kata Dr Adlee; “Semenjak menyertai AQ, hati semakin dekat dengan Al-Quran, dan diharapkan saya dapat menarik lebih ramai orang untuk lebih dekatkan diri dengan Al-Quran.”

Penglibatan seorang pegawai perubatan seperti Dr Adlee dalam Akademi Qurra’ amatlah penting kerana selain kebolehannya merawat insan yang luka fizikalnya, lebih dari itu mempunyai kelebihan merawat jiwa mereka yang cedera melalui suntikan kalimah Ilahi sewaktu merawat.

Gambar: Tilmiz Dr Adlee kelihatan mengesat matanya kerana terharu sebaik sahaja pengumuman tiada penyingkiran pada Minggu Kedua Akademi Qurra’ 2024.

(1210)

Akademi Qurra’ dekatkan Dr Adlee dengan Al-Quran, dalamkan minatnya dalam taranum sejak kecil

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>