Anak-anak mungkir janji pada ibu dalam Villa Untuk Ibu

OLEH: SITI NORHAYATUN ALI

VILLA Untuk Ibu mengisahkan empat orang adik beradik (Kak Long, Kak Ngah, Uda dan Acik) yang berhasrat untuk membina sebuah banglo buat ibu mereka (Mak/Maryam) kerana rumah peninggalan arwah Abah yang didiami oleh Mak dan Acik kian usang.

Mereka bercadang untuk berganding bahu mengumpul wang membiayai kos pembinaan rumah banglo tersebut. Walau bagaimanapun, Acik seringkali diperkecilkan kemampuannya oleh adik beradik yang lain kerana pendapatannya yang tidak seberapa sebagai tukang rumah dan membuat kerja-kerja kampung sahaja.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan, wang untuk membina rumah baharu Mak masih tidak dapat dikumpul. Hanya Acik sahaja yang beria-ia memasukkan sedikit demi sedikit wang ke dalam akaun bank Mak. Ibarat hangat-hangat tahi ayam, Uda penuh dengan alasan tidak dapat memberikan wang bulanan untuk disimpan. Kak Long dan suaminya pula telah terjebak dan tertipu dengan Skim Pelaburan yang
menjanjikan pulangan lumayan bak bulan dan bintang.

Suatu hal yang menyedihkan Mak apabila Kak Ngah memberikannya RM 10 ribu namun mengambilnya semula dan berkata seolah-olah Mak tidak memahami keadaannya dalam perbualan telefon. Penulis skrip menyentuh perasaan penonton melalui dialog antara Mak Limah dan Mak yang didengari oleh Acik; “Mak dengan anak-anak ada talian roh. Mak boleh tahu dan rasa apa yang berlaku pada anak-anak”.

Babak ini mempamerkan keistimewaan telefilem ini kerana pengarah menggabungjalinkan untaian pelakon utama (Mak) dengan Mak Limah sebagai pelakon pembantu yang signifikan peranannya dalam mengangkat sentimen ikatan hubungan ibu dan anak.

Salah satu adegan dalam telefilem Villa Untuk Ibu yang disiarkan
di aplikasi telefon pintar AlHijrah Plus.

Tahun bersilih tahun, anai-anai semakin membiak di rumah Mak. Kak Long mendapat tawaran untuk menunaikan ibadah haji, Kak Ngah dan suaminya pula mendapat tender perniagaan sementara Uda telah berkahwin dan mempunyai cahaya mata, namun wang untuk membina banglo Mak tetap gagal dikumpul.

Betapa sucinya kasih seorang ibu, meskipun sering terluka dengan tingkah dan tutur anak-anak, Mak
tetap menyayangi kesemua anak-anaknya tanpa berprasangka buruk terhadap mereka.

Di sebalik babak-babak sentimental dalam telefilem ini, pengarah menyelitkan unsur kecindan melalui momen mencuit hati antara Acik dan Mak ketika mereka berseloroh meneka alasan yang bakal diberikan oleh Kak Long, Kak Ngah dan Uda yang masih gagal mengumpul wang membina rumah banglo Mak.

Acik tetap berusaha merealisasikan impian untuk menghadiahkan Mak sebuah rumah baharu. Bagaikan pucuk dicita ulam mendatang, satu bahagian tanah arwah Abah yang dinamakan atas nama Acik telah diberikan pampasan oleh kerajaan ekoran pembinaan jalan di kawasan kampung tersebut.

Asbab kemurnian hatinya, segalanya dipermudahkan. Acik menghadiahkan Mak Villa Kasih Maryam Ali
menjelang hari lahir Mak yang ke-63 tahun.

Kesimpulannya, Villa Untuk Ibu wajib ditonton oleh segenap lapisan masyarakat kerana mesej dan nilai moral yang terdapat dalam telefilem ini berjaya mengetengahkan realiti kehidupan ibu dan anak. Malah, pasang surut hubungan adik beradik juga dipaparkan untuk pedoman penonton. Umpama air dicincang takkan putus, demikianlah tautan kekeluargaan yang menyerlah dalam telefilem Villa Untuk Ibu.

Gambar: Puteri Sarah memegang watak Kak Ngah dalam telefilem Villa Untuk Ibu.

* Penulis adalah Peserta Pertandingan Menulis Review Rancangan AlHijrah Plus.

(41)

Anak-anak mungkir janji pada ibu dalam Villa Untuk Ibu

| Advertorial2, Semasa | 0 Comments
About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>