July 27, 2024 11:41 AM
LOGO-HBIT

Anak hidap sakit saraf terpaksa minum susu pekat, ayah hanya kerja buruh tidak mampu beli susu disyorkan doktor

DEMI kasih dan sayang, ibu tabah ini sanggup mengabdikan diri menjaga anak sulungnya yang perlu dijaga seperti bayi sejak 12 tahun lalu. Meskipun bukan tugasan mudah dan memerlukan kesabaran yang tinggi, Siti Zulyana Mohd Rafik, 34, tidak pernah mengeluh membesarkan anaknya Muhammad Amirul Mukmin Mohamad Rozaini, atau lebih mesra dipanggil Along.

Kehadiran Along yang juga menghidap penyakit saraf, Cerebral Palsy sejak lahir adalah anugerah terindah Allah untuk dirinya dan suami, Mohamad Rozaini Abdullah, 42.  Penyakit Cerebral Palsy yang dihidapi menyebabkan Along tidak dapat bercakap dan berjalan seperti kanak-kanak lain malah segala keperluannya perlu diuruskan termasuk menukar lampin pakai buang, memberi makan, minum serta memandikannya.

Along juga tidak boleh dibiarkan seorang diri kerana kerap diserang sawan. Akibat sering diserang sawan iaitu sekitar lima kali dalam sebulan mengakibatkan Along mengalami kekejangan otot serius yang kini menyebabkan kedua-dua kakinya membengkok dan tulang rusuknya terserlah, selain tangan kanan dan kirinya mengeras.

Malah, lutut kanan Along terkehel disebabkan tulang kakinya mengherot sekaligus membuatkan lututnya terkeluar daripada tempurung.

Siti Zulyana perlu menguruskan segala keperluan Along termasuk menukar lampin pakai buang dan memandikannya memandangkan penyakit Cerebral Palsy yang dihidapi anaknya menyebabkan Along tidak boleh bercakap dan berjalan seperti kanak-kanak lain.

Memandangkan hanya memiliki sebuah motosikal, Siti Zulyana tidak mempunyai pilihan sebaliknya terpaksa menghentikan rawatan terapi anaknya di HRPZII sebanyak tiga kali sebulan kerana sukar berulang-alik dengan keadaan mereka tiga beranak terpaksa berhimpit di atas kenderaan terbabit.

Pendapatan suami yang hanya bekerja buruh sebanyak RM1,000 sebulan juga menyebabkan keluarga ini tidak mampu menyediakan segala keperluan Along berjumlah hampir RM800 sebulan termasuk lampin pakai buang.

Akibat kekangan kewangan, Siti Zulyana terpaksa memberi anaknya minum susu Dutch Lady, dengan harga sekitar RM24 sekilogram untuk tempoh seminggu memandangkan beliau tidak mampu membeli susu Pedisure yang berharga RM120 setin walaupun doktor mengesyorkannya.

Malah, ada ketika wanita ini terpaksa memberi anaknya minum teh kosong dan susu pekat akibat tidak mempunyai wang.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 64 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Akibat kerap diserang sawan iaitu sekitar lima kali sebulan, menyebabkan Along mengalami kekejangan otot serius sehingga kedua-dua kakinya membengkok, tulang rusuk kelihatan selain tangan kanan dan kirinya mengeras.