Anak sulung meninggal kerana penyakit saraf, ibu reda teruskan kandungan walaupun anak kedua alami penyakit sama

BIARPUN sedih diuji permata hati sulungnya, Muhammad Harraz Naufal, meninggal dunia ketika berusia dua bulan disebabkan penyakit saraf atau Spinal Muscular Atrophy (SMA) empat tahun lalu, Nik Nurul Shuhada Nik Soh @ Yusoff, 27, bersyukur apabila dikurniakan peluang kedua untuk memiliki cahaya mata. 

Namun wanita ini sekali lagi diuji apabila kandungan kedua yang diharap menjadi pengubat kesedihan, turut disahkan menghidap penyakit sama seperti yang dideritai anak sulungnya ketika kandungannya berusia sekitar 13 minggu, selepas melakukan ujian sampel air ketuban di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Walaupun sukar berdepan ujian yang bertimpa-timpa, Nik Nurul Shuhada reda dengan ketentuan Allah SWT sewaktu diberi pilihan meneruskan kandungan atau menggugurkannya. Kini, wanita ini sentiasa berdoa agar anak bongsunya Muhammad Harraz Waiz Saiful Shahrin, 16 bulan, dipanjangkan umur.

Pada awal kelahiran, Muhammad Harraz Waiz tidak menunjukkan sebarang kelainan  namun selepas memasuki dua minggu kelahiran, anaknya itu mula menunjukkan perubahan. Kaki Muhammad Harraz Waiz yang sebelum ini mampu bergerak seperti bayi lain mengeras, selain kedua-dua tangannya juga tidak boleh diangkat sepenuhnya memandangkan SMA mengakibatkan otot menjadi lemah.

Malah, keadaaan bayi ini juga bertambah buruk selepas menginjak usia empat bulan apabila berdepan masalah pernafasan sehingga doktor terpaksa melakukan intubasi selama dua bulan bagi mengatasi masalah itu. Disebabkan itu, doktor terpaksa menebuk lehernya pada Januari lalu bagi membantu pernafasan kerana prosedur intubasi yang dilakukan dalam tempoh terlalu lama memberi  mudarat kepada kesihatannya.

Leher Muhammad Harraz Waiz terpaksa ditebuk Januari lalu bagi membantu pernafasannya.

Muhammad Harraz Waiz kini terpaksa bergantung dengan mesin oksigen sepanjang masa selain mesin kahak yang disewa daripada Unit Kebajikan Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu. Perutnya juga terpaksa ditebuk untuk membuat saluran bagi menyalurkan susu.

Namun tebukan di leher dan perut menyebabkan dia sering dimasukkan ke hospital kerana mudah dijangkiti kuman. Nik Nurul Shuhada memperuntukkan sebanyak RM1,500 setiap bulan bagi menampung keperluan lampin, susu serta kelengkapan alatan oksigen Muhammad Harraz Waiz.

Memandangkan Muhammad Harraz Waiz kerap berulang alik ke hospital, suaminya, Saiful Shahrin Salleh, 28, yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di sebuah syarikat di Kuantan terpaksa berhenti kerja dan kini berniaga pakaian terpakai secara dalam talian dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan.

Ini menyebabkan pasangan ini terpaksa berhutang dengan keluarga dan menggadai barang kemas untuk kos rawatan dan perubatan anak mereka.

Untuk menderma sila layari ybim.org.my/suaraasnaf dan tekan Asnaf 65 atau terus menyumbang ke akaun YBIM (566010633490 – Maybank).

Gambar: Nik Nurul Shuhada bersyukur dikurniakan peluang kedua menimang cahaya mata biarpun Muhammad Harraz Waiz turut menghidap penyakit saraf atau Spinal Muscular Atrophy seperti anak sulungnya.

(7)

Anak sulung meninggal kerana penyakit saraf, ibu reda teruskan kandungan walaupun anak kedua alami penyakit sama

About The Author
-

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>